COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Status Terkini : Kluster UTAMA (15/10/2020)

Kluster ini mula dilaporkan pada 10 Oktober 2020 yang melibatkan daerah Gombak, Petaling dan Hulu Langat di negeri Selangor serta daerah Alor Gajah di negeri Melaka. Pada 15 Oktober 2020, sebanyak 105 lagi kes baharu telah dikenalpasti dalam kluster ini, menjadikan jumlah kes setakat ini adalah 132 kes (iaitu 131 kes telah dilaporkan di negeri Selangor serta 1 kes telah dilaporkan di negeri Melaka). Kes-kes ini melibatkan 107 bukan warganegara dan 25 warganegara Malaysia.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu Kes ke-15023) adalah lelaki warganegara Nepal berumur 28 tahun yang merupakan pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli-belah di daerah Petaling. Kes mula mengalami gejala demam, batuk dan selesema sejak 22 September 2020. Kes dikesan positif COVID-19 pada 8 Oktober 2020 melalui saringan kontak rapat dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Sebelum ini KKM mengesyaki kes ke12549 sebagai kes indeks, namun hasil siasatan lanjut mendapati gejala beliau bermula lebih lewat berbanding kes ke-15023.

Pecahan bagi 132 kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kluster ini adalah seperti berikut: • 87 pekerja keselamatan • 18 pekerja pembersihan • 16 pekerja di beberapa premis pusat membeli-belah tersebut; • Enam (6) pengunjung; dan
• Lima (5) ahli keluarga Kes ke-12549.

Sehingga 15 Oktober 2020, seramai 447 individu telah disaring, di mana: • 132 kes dikesan positif COVID-19;
• 269 individu dikesan negatif; dan • 46 individu masih menunggu keputusan.

Sehubungan itu, pusat membeli belah ini telah ditutup 11 sehingga 16 Oktober 2020 bagi proses nyah kuman dan pembersihan. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster ini masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat. Status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh KKM.

Next Post Previous Post