Berita Tular Kes Positif Di Lembah Pantai Sedang Disiasat

/ sorotan, highlights, berita tular

KKM mengambil maklum mesej pesanan ringkas yang tular disebarkan melalui aplikasi Whatsapp dan laman media sosial mengenai kes positif COVID-19 di Lembah Pantai yang melibatkan seorang pelajar dari sebuah sekolah di Seri Pantai. Namun demikian, ingin dimaklumkan bahawa pihak KKM masih sedang menyiasat lanjut kes ini. KKM telah menerima laporan dari sekolah terbabit mengenai satu (1) kes bergejala yang melibatkan seorang pelajar. Susulan itu, siasatan telah dijalankan mengikut protokol KKM, di mana sebarang kes yang dilaporkan ke KKM akan disiasat terlebih dahulu dan tindakan selanjutnya seperti pengesanan kes akan dijalankan jika perlu.

Hasil siasatan mendapati seorang pelajar Tingkatan 5 dari sekolah tersebut telah mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos 2020. Pada 10 Ogos 2020 beliau telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana beliau telah disaring untuk Demam Denggi dan juga jangkitan COVID-19. Keputusan saringan Demam Denggi didapati positif namun pengesahan ujian COVID-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti Demam Denggi.

Sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, pihak KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan. Setakat ini, seramai 34 orang pelajar dan lapan (8) orang guru dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut. Daripada jumlah tersebut seramai 28 orang telah disaring dan 14 orang lagi telah diberi arahan untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk persampelan.

Semua individu yang telah disaring ini diberi arahan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan. Selain itu, proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenalpasti. Pemantauan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat beliau akan terus dipantau oleh pihak KKM. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

KKM ingin menjelaskan kepada masyarakat bahawa kes COVID-19 hanya akan dilaporkan sebagai kes positif COVID-19 selepas ianya diumumkan secara rasmi oleh KKM. Laporan dari mana-mana sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM. Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut.

Next Post Previous Post