9,167 KES POSITIF COVID-19 BERJAYA DIKESAN MELALUI APLIKASI PINTAR MYSEJAHTERA

/ MYSEJAHTERA, sorotan, highlights

Aplikasi pintar MySejahtera telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 20 April 2020 bagi membantu pengurusan pandemik COVID-19. Sejak dilancarkan, aplikasi ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat. Sehingga 18 November 2020, MySejahtera telah berjaya mencapai 23,953,970 pengguna serta tanggungan yang berdaftar, dan 1,058,853 premis perniagaan berdaftar.

Setakat ini, MySejahtera telah merekodkan 1.7 bilion jumlah kumulatif check-in ke premis-premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 15 juta check-in sehari. Selain itu, ia juga telah membantu merungkai 523,000 persoalan pengguna. Aplikasi ini telah berjaya mendapat penarafan 4.7 bintang di dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore.

Aplikasi MySejahtera telah banyak membantu KKM dalam mengesan kes-kes positif COVID-19 melalui 2 kaedah berikut, iaitu:

  1. Penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna, di mana kes COVID-19 dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap COVID-19 mengikut kriteria dalam garis panduan KKM. Sehingga 18 November 2020, 1,561 kes (3.1 – 6.5 peratus) telah berjaya dikesan dan disahkan positif COVID-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri; dan

  2. Pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera. Pengguna yang berpotensi sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 akan dikesan melalui aplikasi ini. Sehingga 18 November 2020, sebanyak 7,606 kes COVID-19 (15.1 – 37.8 peratus) telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera.

Sehingga 18 November 2020, jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti positif COVID-19 melalui penggunaan aplikasi MySejahtera adalah 9,167 kes. Secara puratanya, kes yang dikesan adalah 18.2- 44.3 peratus (peratusan berubah dari semasa ke semasa kerana ia bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan MySejahtera).

Untuk tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan. Data tersebut akan dianalisa bersama-sama dengan penemuan siasatan lapangan dan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak. Data-data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In di mana rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis.

Sebagai contoh, untuk Kluster Utama, seramai 17,260 pengguna telah dikenal pasti melalui aplikasi MySejahtera sebagai pengunjung ke pusat membeli belah terlibat dalam suatu tempoh masa tertentu. Daripada jumlah itu, seramai 1,343 individu telah dikenal pasti untuk penilaian lanjut oleh PKD, di mana 457 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif Kluster Utama. Ujian persampelan seterusnya mengesahkan seramai 221 kes positif COVID-19 daripada 457 individu yang merupakan kontak rapat. Daripada 236 kes positif COVID-19 bagi Kluster Utama yang diumumkan pada hari yang sama, 221 kes adalah berjaya dikesan menggunakan aplikasi pintar MySejahtera (93 peratus).

Untuk makluman, aplikasi MySejahtera menerapkan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi piawaian global untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan data. Data yang dikumpul melalui Mysejahtera adalah bagi tujuan pengesanan kontak sahaja dengan punca kuasa di bawah “Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988” dan “Akta Perubatan 1971”. Maklumat peribadi pengguna yang dikumpulkan juga dilindungi oleh “Akta Perlindungan Data Peribadi 2010”. Data Check-In yang dikumpulkan akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari.

Next Post Previous Post