COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Kluster Baharu : KLUSTER MV GLEN dan KLUSTER TELAGA

KLUSTER MV GLEN, SELANGOR

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu yang telah dikenal pasti di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor. Kes indeks merupakan kes ke9286 yang dilaporkan positif pada 25 Ogos 2020. Kes indeks merupakan seorang krew kapal. Kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan.

Saringan COVID-19 dijalankan dan sehingga 30 Ogos 2020, sejumlah lapan (8) orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • Enam (6) individu adalah negatif.

Kes indeks bagi kluster ini merupakan kes import yang melibatkan satu (1) bukan warganegara manakala kes kedua merupakan kes tempatan yang melibatkan satu (1) warganegara Malaysia yang merupakan agen yang dilantik oleh syarikat perkapalan. Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Saringan kesihatan sign-on dan sign-off adalah penting kerana ini merupakan salah satu kawalan sempadan antarabangsa yang dijalankan bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpontensi dijangkiti COVID-19 ke dalam negara. Justeru, kawalan ini perlu terus dipertingkatkan bagi mengelakkan penularan penyakit COVID-19.

KLUSTER TELAGA, KEDAH

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenal pasti di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos 2020 (kes ke-9284). Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan. Kedua-dua kes ini merupakan petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif COVID-19.

Sehingga 30 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 372 individu adalah negatif.

Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan. Perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa. Punca jangkitan masih dalam siasatan namun besar kemungkinan ianya disyaki berpunca dari kalangan komuniti.

Next Post Previous Post