Kes baharu Di Perlis dan Pulau Pinang Berkait Rapat Dengan Kluster PUI Sivagangga

KKM ingin melaporkan pertambahan 13 lagi kes positif COVID-19 dalam Kluster PUI Sivagangga. Daripada jumlah tersebut, 12 kes adalah kes baharu yang dilaporkan pada hari ini. Sehingga 6 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,246 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

43 kes dikesan positif COVID-19;
2,320 negatif; dan
883 masih menunggu keputusan.
Seramai 1,884 kontak rapat telah dikenalpasti dan bakal disampel di Perlis dan Pulau Pinang, susulan kes positif yang diumumkan hari ini.

Pecahan kes positif kluster mengikut negeri adalah seperti berikut:

31 kes di Kedah;
11 kes dari Perlis; dan
Satu (1) kes dari Pulau Pinang.

Sepuluh (10) kes baharu yang dilaporkan di Perlis pada hari ini, dan juga kes ke-9002 yang dilaporkan di Perlis pada 4 Ogos 2020 adalah terdiri daripada satu (1) keluarga. Ini menjadikan kesemua 11 kes daripada Perlis ini adalah daripada Kluster Sivagangga.

Hasil siasatan mendapati bahawa salah satu ahli keluarga tersebut (iaitu kes ke-9054, kes generasi kedua) adalah merupakan pelanggan tetap gerai milik kes ke-8976 (iaitu kes generasi pertama kluster ini). Ini menjadikan kes ke-9054 tersebut sebagai kes generasi kedua dan sepuluh (10) ahli keluarga kepada kes ke-9054 adalah generasi ketiga kluster ini. Kesemua 10 kes baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis untuk rawatan.

Satu (1) kes baharu dari Kedah (kes ke-9053) pula adalah kontak rapat kepada kes ke-9035 (iaitu suami kepada kes ke-90) yang telah dilaporkan pada 6 Ogos 2020, manakala satu (1) kes baharu di Pulau Pinang (kes ke-9052) disaring kerana pada 30 Julai 2020 beliau telah pulang ke kampung halaman yang merupakan salah satu kawasan yang kini di bawah pelaksanaan TEMCO.

Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) diteruskan. Langkah-langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berkait rapat dengan kluster ini.

Situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai. Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut.


9 daripada 10 kes baharu #COVID19 yang dikesan di Perlis dari Kluster PUI #Sivagangga adalah generasi ketiga. Setakat ini, Perlis merekodkan 11 kes #COVID19 dari kluster itu. 1 kes di Kedah adalah kontak rapat dan 1 kes di PP hasil saringan tersasar (targeted screening).

Next Post Previous Post