COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PENINGKATAN KES BAGI KLUSTER BERKAITAN TEMPAT KERJA

Ingin dimaklumkan daripada 158 kluster aktif COVID-19 yang dilaporkan, sebanyak 65 kluster (41.1 peratus) adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk dua (2) kluster baharu diumumkan pada hari ini. Sebanyak 5,681 kes positif COVID-19 yang berkaitan kluster tempat kerja adalah melibatkan 3,369 (59.3 peratus) warganegara dan 2,312 (40.7 peratus) bukan warganegara. Ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan COVID-19 terhadap pekerja-pekerja mereka.

KKM amat berterima kasih dan ingin menyampaikan penghargaan kepada majikan dalam bersama-sama membantu mengesan kes-kes positif di kalangan warga kerja. Tindakan ini dapat mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam. Hal ini sekaligus dapat melindungi individu-individu yang berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak daripada dijangkiti COVID-19.

Warga pekerja juga diseru untuk mematuhi Prosedur Amalan Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan COVID-19 di tempat kerja. Majikan dan warga pekerja hendaklah sentiasa memastikan persekitaran tempat kerja dan kawasan gunasama (misalnya tandas, dapur dan pantri) yang bersih dan selamat bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Selain daripada itu, pihak majikan juga diingatkan untuk memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal. Didapati risiko penularan adalah tinggi bagi kawasan penginapan yang sesak dan sempit.

Next Post Previous Post