COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Langkah Pencegahan dan Kawalan COVID-19 Bagi Individu Dari SABAH

Seperti yang dilaporkan dalam Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 25 September 2020, terdapat 10 kes yang dikesan positif COVID-19 setelah kembali dari Sabah pada 20 hingga 25 September 2020). Pada hari ini pula, dikesan terdapat 11 lagi kes positif COVID-19 yang dikesan di Semenanjung Malaysia setelah kembali dari negeri Sabah. Peningkatan kes dan kluster COVID-19 di Negeri Sabah masih berterusan dan 4 daerah telah dikenalpasti sebagai zon merah (setelah merekodkan bilangan kes COVID-19 melebihi 40 kes dalam tempoh 14 hari kebelakangan).

Mengambilkira situasi semasa ini, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu-individu tersebut. Justeru itu, bermula 27 September 2020 sehingga 10 Oktober 2020, aktiviti saringan akan dijalankan kepada semua individu yang baru tiba dari Sabah di semua Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa). Mereka diwajibkan:

  1. Memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk (check-in) menggunakan aplikasi ini setibanya di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa);
  2. Menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan COVID-19 sejurus tiba di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa);
  3. Menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO). Kesemua individu di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) akan diberi surat HSO, dan dipakaikan gelang kuarantin. Tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) sehingga keputusan makmal diperolehi. Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif COVID-19;
  4. Sekiranya terdapati individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan kereta Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut; dan
  5. Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19.

Saringan ke atas individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah ini dikecualikan daripada caj ujian COVID-19.

Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum.

Next Post Previous Post