Kes Positif Baharu Dikesan Dalam Kluster PUI SIVAGANGGA

3 kes baharu dikesan di Kluster PUI Sivagangga.

Sehingga 5 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 1,647 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:
• 24 kes dikesan positif COVID-19;
• 754 negatif; dan
• 869 masih menunggu keputusan.

Pecahan warganegara bagi kes positif kluster ini adalah seperti berikut:
• 19 warganegara Malaysia; dan
• 5 bukan warganegara.

3 kes baharu telah dikesan dalam Kluster PUI Sivagangga pada hari ini. Ketiga-tiga kes tersebut dikenalpasti melalui saringan kontak rapat kes positif kluster ini, di mana mereka adalah kes generasi kedua. Dua (2) daripada kes-kes tersebut adalah kontak rapat kepada kes ke-9000 di mana kedua-duanya adalah anak kepada kes tersebut (iaitu kes ke-9021 dan kes ke-9022). Seorang daripada anak beliau telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 30 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

Kes ketiga (iaitu kes ke-9023) pula adalah kontak rapat kepada kes ke-8976. Beliau telah mengalami gejala demam serta gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos 2020 dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim. Adalah dimaklumkan bahawa terdapat satu mesej tular palsu berkaitan kes ini yang memberikan maklumat terperinci kawasan yang telah beliau lawat. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan mesej palsu tersebut kerana ianya adalah tidak tepat. Tindakan pengesanan kes secara aktif akan diteruskan, dan situasi semasa akan dimaklumkan. Ketiga-tiga kes baharu ini dikesan positif pada 4 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan.

Rangkuman Terkini #COVID19MALAYSIA Hari Ini (05 OGOS 2020)

Kemaskini Setiap Negeri #COVID19MALAYSIA Sehingga 05 OGOS 2020

Next Post Previous Post