Pada hari ini, 10 Disember 2020, Malaysia telah merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara kita iaitu sebanyak 2,234 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 78,499 kes. Sebelum ini, negara mencatatkan kes tertinggi pada 24 November 2020 iaitu sebanyak 2,188 kes yang mana sejumlah besar kes-kes adalah melibatkan Kluster Teratai.

Pada hari ni, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,867 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima (5) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 2,229 kes.

Negeri Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 1,428 kes (63.9 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 1,321 kes (93.2 peratus) adalah daripada saringan kontak rapat dan kluster-kluster. Kebanyakan kes-kes positif di negeri Selangor pada hari ini melibatkan kluster-kluster berkaitan tempat kerja terutamanya Kluster Seruling dan Kluster Hentian.

Pada hari ini sahaja, negeri Selangor telah melaporkan sebanyak 842 kes (59.0 peratus) Kluster Seruling dan 315 kes (22.1 peratus) Kluster Hentian. Kes di negeri Selangor dijangkakan akan kekal tinggi susulan perluasan Program Saringan Pekerja Warga Asing oleh PERKESO dan tindakan proaktif majikan-majikan di Lembah Klang. Sehingga kini, pengesanan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif masih giat dijalankan di lapangan dan kes-kes yang terlibat telah diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0 dan Hospital Sungai Buloh.

Selain daripada negeri Selangor, dua (2) negeri lain yang melaporkan kes harian baharu yang tertinggi adalah negeri Sabah iaitu sebanyak 274 kes (12.3 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 136 kes (6.1 peratus).

Sebanyak 160 kes (7.2 peratus) COVID-19 yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (104 kes), Kluster Bakti (45 kes), Kluster Rumah Merah (8 kes) dan Kluster PTS Sibuga (3 kes).

Next Post Previous Post