COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Peningkatan Kes Harian Adalah Selari Dengan Trend Peningkatan Kes Dunia

Seperti diumumkan, hari ini negara mencatatkan sejumlah 287 kes baharu positif COVID-19, iaitu jumlah kes harian yang tertinggi pernah dicatatkan sejak permulaan pandemik ini. Tren peningkatan inilah yang KKM khuatiri dan peringatkan hampir setiap hari kepada semua pihak, kerana ia sememangnya selari dengan tren peningkatan jumlah kes dan kematian COVID-19 yang dilihat di seluruh dunia. Kes COVID-19 di dalam dunia pada masa kini telah mencecah sekitar 34.2 juta kes dan jumlah kes harian menunjukkan kenaikan iaitu sekitar 309,000 kes berbanding sebelumnya kira-kira 302,000 kes.

Daripada 287 kes baharu yang dicatatkan di Malaysia pada hari ini, 128 adalah daripada Kluster Tembok yang melibatkan sebuah penjara di Kedah. Daripada baki 159 kes pula, 113 kes telah dikesan di negeri Sabah terutama daripada kluster-kluster sedia ada dan empat daerah yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB). Diharapkan tindakan menjalankan PKPDB, pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuatkuasa mulai jam 12:01 malam 3 Oktober 2020 sehingga 16 Oktober 2020, dan segala aktiviti-aktiviti kawalan di lapangan akan membantu mengawal dan mengurangkan jumlah kes di negeri Sabah.

Terdapat juga 20 kes baharu yang dicatatkan hari ini di mana mereka merupakan pengunjung dengan sejarah perjalanan ke negeri Sabah. Ini susulan aktiviti saringan kepada semua pengunjung yang baru tiba dari Sabah di semua Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) bermula 27 September 2020 sehingga 10 Oktober 2020. Mereka yang negatif dan terdedah kepada kes positif atau mempunyai gejala diwajibkan kuarantin 14 hari. Mereka yang didapati negatif dan tidak bergejala dan tidak terdedah kepada kes positif setelah menjalani ujian COVID-19 dinasihatkan patuh untuk meneruskan tempoh kuarantin sehingga lengkap 14 hari.

Meskipun sememangnya telah bersiapsiaga, kesemua Jabatan-jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah seluruh negara telah diberi peringatan untuk menghadapi sebarang kebarangkalian kenaikan kes mendadak di lokaliti mereka dan melipat gandakan usaha untuk mengesan, menguji, mengasingkan dan kemudiannya merawat sebarang kes COVID-19. Seperti yang dilaksanakan sebelum ini, KKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Namun begitu, KKM dan agensi-agensi pihak berwajib tidak mampu melawan COVID-19 sendirian. Malahan, tanggungjawab lebih besar adalah terletak pada bahu setiap individu dalam masyarakat, tidak kira pangkat, latar belakang dan status. Elakkan daripada salah menyalahi antara satu sama lain. Tanggungjawab sosial ini perlu dipikul bersama agar kita dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19 di dalam negara kita. Kita telah harunginya bersama sebelum ini dengan menjaga diri kita, keluarga kita, komuniti kita dan negara kita.

Next Post Previous Post