Status Terkini Kluster Kurau, Perak

/ sorotan, highlights, kluster kurau

3 lagi kes positif dikesan dalam Kluster Kurau.

Setakat ini, kluster ini telah melibatkan dua buah negeri iaitu negeri Perak dan negeri Pulau Pinang. Mereka merupakan ahli keluarga kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9050), iaitu adik, biras dan anak saudara beliau yang berumur 2 tahun. Kes pertama telah mempunyai kontak rapat dengan kesemua kes baharu ini semasa aktiviti kunjung-mengunjung menjelang Hari Raya Aidiladha (30 Julai 2020).

Anak saudara kes ke-9050 (iaitu kes ke-9093) didapati mempunyai gejala demam dan selesema sejak 30 Julai 2020. Manakala, adik dan biras kes ke-9050 tidak mempunyai sebarang gejala. Ketiga-tiga kes baharu ini telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Setakat ini, seramai 125 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

  • 5 kes dikesan positif COVID-19;
  • 112 negatif; dan
  • 8 masih menunggu keputusan. Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan. Punca jangkitan masih di dalam siasatan

Persamaan Kluster PUI #Sivagangga dan Kluster Kurau ialah jumlah kes dlm kalangan ahli keluarga makin bertambah selepas Hari Raya Aidiladha kerana aktiviti kunjung mengunjung. Walaupun aktiviti ini dibenarkan, langkah pencegahan amat perlu spt pakai pelitup muka. - @DGHisham

AKTIVITI KUNJUNG-MENGUNJUNG YANG TIDAK MENGIKUT PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) ADALAH ANTARA SEBAB PENULARAN KES COVID-19

Kluster Sivagangga dan Kluster Kurau merupakan dua kluster yang didapati mencatat pertambahan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas musim perayaan. Siasatan yang telah dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan ke atas kontak rapat kes, mendapati bahawa penularan jangkitan COVID-19 dalam kedua-dua kluster ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan. Kebanyakan kes positif kedua-dua kluster ini adalah terdiri daripada ahli keluarga. Golongan warga emas dan juga kanak-kanak turut termasuk dalam kes-kes positif dalam kluster ini, iaitu dalam lingkungan umur dua (2) hingga 70 tahun.

Aktiviti kunjung-mengunjung walaupun kini dibenarkan namun masih tertakluk kepada SOP. Penjarakan fizikal (physical distancing) yang selamat sesama individu sewajarnya diamalkan di semua tempat termasuk di antara ahli keluarga dan sanak saudara. Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi ataupun menyertai sebarang kenduri-kendara dan perayaan.

Sejak 1 Ogos 2020, Kerajaan telah mewajibkan orang ramai memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat-tempat awam yang sesak dan sempit. Orang ramai juga digalakkan memakai facemask semasa aktiviti kunjung-mengunjung di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan. Begitu juga amalan kebersihan kendiri seperti mencuci tangan dengan air dan sabun. Nasihat-nasihat ini sekiranya dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya dengan disiplin yang tinggi, ianya dapat mengelakkan penularan COVID-19 daripada terus berlaku dan menjangkiti orang tersayang.

Next Post Previous Post