Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Aman Jaya, Kedah

/ pkpd, sorotan, highlights, Aman Jaya Kedah

Sehingga 27 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 4,521 orang telah disaring dalam Kluster Tawar. Pada hari ini, tiada kes baharu yang dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 bagi kluster ini adalah sebanyak 73 kes. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

Kedah (3,983 disaring):

  • 62 kes dikesan positif COVID-19 (3 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU));
  • 3,453 individu adalah negatif; dan
  • 468 individu masih menunggu keputusan.

Pulau Pinang (527 disaring):

  • 11 kes dikesan positif COVID-19 (2 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU));
  • 516 individu adalah negatif.

Perak: Kekal 11 saringan, di mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu.

Kes pertama bagi Kluster Tawar dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada 12 Ogos 2020 dan Kluster Tawar diistiharkan pada 13 Ogos 2020. Dalam tempoh 14 hari, sebanyak 72 kes positif telah dikesan bagi kluster ini (kadar positiviti adalah sebanyak 1.61%) sehingga melibatkan tiga (3) generasi. Pecahan kes bagi setiap generasi adalah seperti berikut:

  • Generasi pertama terdapat 29 kes;
  • Generasi kedua 23 kes; dan
  • Generasi ketiga 20 kes.

Mengambil kira peningkatan kes yang mendadak sehingga melibatkan daerah dan negeri lain, pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan kajian virologi terhadap Kluster Tawar. Sebanyak 14 sampel telah diambil bagi tujuan full genome sequencing dan sebanyak empat (4) sampel berjaya mendapat virus untuk sequencing. Didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

Virus Kluster Tawar ini (4 sampel) dibandingkan dengan virus daripada Kluster PUI Sivagangga (3 sampel). Hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada clade yang sama. Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga adalah daripada sumber yang sama. Namun begitu, siasat lanjut masih dijalankan.

Selain dari aktiviti-aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan aktif kes dan kontak untuk membendung penularan jangkitan COVID-19, penilaian risiko bagi Kluster Tawar telah dijalankan. Penilaian risiko mendapati:

  • taburan kes positif COVID-19 tidak tertumpu di suatu lokaliti;
  • penularan dilaporkan berlaku daripada kes asymptomatic;
  • penularan telah berlaku ke generasi ketiga;
  • virus D614G sama dengan virus Kluster Sivagangga;
  • kawasan penempatan yang padat;
  • banyak pergerakan penduduk (high mobility) dalam dan antara daerah; dan
  • liputan saringan penduduk yang masih rendah (kadar positivity lebih daripada 1%).

Justeru, telah diputuskan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah berkuatkuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh KKM dan melibatkan tiga (3) zon di Aman Jaya iaitu:

  • Kenanga
  • Mawar
  • Melur

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) merupakan satu tindakan Kerajaan yang membolehkan aktiviti kesihatan awam dijalankan. Terutamanya pengesanan kes baharu di sesebuah lokasi berisiko tinggi yang dikesan mempunyai penularan jangkitan COVID-19. Masyarakat adalah diseru untuk memberikan kerjasama kepada barisan hadapan kerana matlamat akhir yang ingin dicapai oleh semua orang adalah menangani wabak COVID-19 dengan berkesan.

Next Post Previous Post