STATUS TERKINI KLUSTER TEMPAT KERJA

/ sorotan, highlights

Peningkatan kes mendadak di negeri-negeri Lembah Klang secara amnya dan di negeri Selangor secara khususnya kebelakangan ini adalah berkait rapat dengan kluster-kluster di tempat kerja.

Sehingga kini, terdapat 119 kluster yang dilaporkan adalah berkaitan tempat kerja. Daripada jumlah itu, sebanyak 36 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 83 buah kluster lagi masih aktif sehingga ke hari ini. Sejumlah 77,201 individu telah disaring di mana sebanyak 12,079 kes telah didapati positif COVID-19. Ini melibatkan 4,398 kes warganegara dan 7,681 kes adalah bukan warganegara. Berikut adalah lima (5) kluster berkaitan tempat kerja yang melaporkan kes tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19 di negara kita.

Bil

Kluster

Negeri

Jumlah kes

Jumlah disaring 

WN

BWN

Kluster Teratai 

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor

4,036 

5,777 

190 

3,846 

Kluster Tapak Bina Damanlela 

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor 

1,539 

3,496 

37 

1,502 

Kluster Cergas 

Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan 

1,337 

5,198 

268 

1,069 

Kluster Hentian 

Selangor,  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Negeri Sembilan 

1,101 

9,204 

215 

886 

Kluster Kaya 

Negeri Sembilan,  Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur & Putrajaya, Melaka, Selangor, Johor, Kelantan, Perak

900 

4,391 

503 

397 

WN merujuk kepada warganegara dan BWN merujuk kepada bukan warganegara.

Pada gelombang ketiga pandemik ini, negara telah menyedari kepentingan untuk mengimbangi di antara “live and livelihood”. Maka pendekatan yang telah diambil seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu adalah untuk menjaga kepentingan kedua-dua aspek iaitu kesihatan dan ekonomi. Walau bagaimanapun, kejayaan strategi ini memerlukan kerjasama yang sangat tinggi daripada para majikan bagi memastikan semua amalan pekerjaan dan para pekerja sentiasa patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Bagi industri yang menggunakan banyak tenaga kerja daripada kalangan bukan warganegara, majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif serta memastikan pekerja mereka sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di kediaman dan tempat kerja. Antara amalan-amalan yang perlu dilaksanakan adalah seperti berikut:

  • Pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki tempat kerja;
  • Penyediaan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer;
  • Kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya ruang guna sama;
  • Amalan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangya 1 meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan (pantry);
  • Pastikan pekerja tidak berkumpul di ruang sempit (confined space);
  • Elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa (congregation); dan
  • Pastikan jarak 1 meter semasa pekerja bertutur dengan satu sama lain (close conversation).

KKM menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar bagi bersama-sama menangani penularan COVID-19 di Malaysia. Seperti kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Next Post Previous Post