COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Risiko Penularan Kes Positif COVID-19 Di Kalangan Petugas Kesihatan Dan Langkah Pencegahan

Sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di kalangan petugas barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan dari sektor awam dan swasta. Keadaan ini adalah membimbangkan kerana mereka memainkan peranan yang penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan Negara.

Hasil siasatan mendapati bahawa kes positif COVID-19 di kalangan petugas kesihatan KKM adalah kebanyakannya berpunca daripada penularan di kalangan petugas kesihatan sendiri. Ini menyumbang sebanyak 53 peratus daripada keseluruhan kes yang melibatkan petugas kesihatan, bermakna lebih separuh daripada petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 telah berjangkit daripada petugas kesihatan lain. Jangkitan daripada komuniti adalah sebanyak 22 peratus, manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status COVID-19 pula adalah sebanyak 17 peratus. Setakat ini, tiada petugas kesihatan KKM yang dijangkiti COVID-19 semasa pengurusan pesakit disahkan COVID-19 di wad COVID-19 atau di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Justeru itu, adalah amat penting bagi petugas kesihatan untuk memastikan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 diambil pada setiap masa, terutamanya semasa bertugas. Penjarakan fizikal (physical distancing) yang selamat di tempat bertugas iaitu di kalangan rakan sekerja dan semasa pengurusan pesakit sewajarnya diamalkan sepanjang waktu bekerja. Begitu juga dengan kebersihan kawasan guna sama seperti kaunter jururawat, tempat makan, pantri, ruang solat dan tandas kakitangan.

Seperti yang sering ditekankan juga, KKM ingin mengingatkan semua petugas kesihatan KKM yang bertugas di hospital mahupun Klinik Kesihatan agar memakai alat pelitup muka jenis 3-ply surgical mask sepanjang waktu bekerja. Petugas kesihatan juga perlu mengamalkan kebersihan tangan (hand hygiene), etika batuk (cough etiquette) dan memakai alat pelindung diri (Personal Protective Equipment, PPE) yang bersesuaianmengikut keperluan semasa menjalankan tugas.

KKM ingin menyarankan agar amalan-amalan yang dinyatakan di atas turut diikuti oleh pengamal perubatan dan petugas kesihatan swasta dan di universiti. Ini termasuk penggunaan 3-ply surgical mask semasa mengendalikansemua pesakit dan sepanjang waktu di tempat kerja. Pengamal perubatan swasta juga perlu menggunakan PPE yang sesuai apabila menjalankan sebarang prosedur klinikal dan bagi kes yang disahkan positif COVID-19.

KKM menyeru agar semua petugas kesihatan samada di sektor awam mahupun swasta supaya mengambil langkah-langkah berikut di rumah serta di tempat awam, misalnya:

  1. Mengamalkan dan membudayakan kebiasaan baharu semasa berada di rumah iaitu;
  2. Mengasingkan diri sekiranya bergejala;
  3. Memakai alat pelitup muka sekiranya bergejala;
  4. Memastikan penjarakan fizikal dan kebersihan tangan sentiasa diamalkan semasa menerima kunjungan tetamu; dan
  5. Sekiranya mengalami gejala, kekal berada di rumah dan tidak mengunjungi tempat awam. Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan.
  6. Mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan semasa berada di tempat awam, misalnya:
    • Memakai alat pelitup muka semasa berada di tempat awam yang sesak dan sempit di mana penjarakan fizikal tidak dapat diamalkan;
    • Menggunakan aplikasi MySejahtera setiap kali memasuki premis awam;
    • Melakukan saringan kesihatan dengan mengambil suhu badan dan memeriksa gejala setiap kali memasuki premis awam; dan
    • Mengikuti SOP khusus misalnya di restoran, rumah ibadat, hotel dan lain-lain sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Next Post Previous Post