COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Risiko Jangkitan Import dari Kemasukan Pengembara Ke Malaysia

Sejak 3 April 2020 sehingga 9 September 2020, jumlah pengembara yang masuk ke Malaysia adalah seramai 119,268 orang. Daripada jumlah tersebut sebanyak 995 disahkan positif COVID-19, iaitu 742 kes dikesan semasa saringan ketibaan dan 253 kes dikesan daripada saringan kedua pada hari ke-13.

Susulan kenaikan kes import COVID-19 ke dalam Malaysia, KKM telah membangunkan matriks penilaian risiko ke atas negara-negara di dunia bagi mengukur risiko pengimportan jangkitan COVID-19 ke Malaysia. Ini adalah penting dalam membuat keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan sempadan antarabangsa.

Setiap negara dinilai berdasarkan kriteria di atas dan diletakkan di dalam kategori risiko tertentu. Hasil penilaian ke atas semua 23 buah negara yang telah dikenakan sekatan perjalanan ke Malaysia didapati mempunyai risiko tinggi membawa masuk jangkitan COVID-19 ke dalam negara kita.

Kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan COVID-19 adalah berdasarkan Scoring Board: Sistem Merit yang dibangunkan KKM dengan mengunapakai sumber data dari European Centre for Disease Prevention and Control (ECDC) dan Our World in Data.

Enam kriteria yang telah dikenal pasti adalah:

  1. Bilangan kes COVID-19 dalam tempoh 14 hari kebelakangan;
  2. Kadar insiden per 1 juta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan;
  3. Kadar kematian 14 hari kebelakangan per 1 juta penduduk;
  4. Kadar kematian kes kumulatif;
  5. Indeks pemulihan (Recovery index);
  6. Kes kumulatif COVID-19 melebihi 150,000 kes.

Namun demikian, penilaian risiko ini adalah salah satu mekanisma menilai risiko COVID-19 sesebuah negara. Masih terdapat kriteria lain yang perlu diteliti seperti polisi pengesanan kes COVID-19 negara terbabit, yang memberi implikasi langsung kepada jumlah kes semasa yang dikesan dan dilaporkan

Next Post Previous Post