PATUHI PROSEDUR AMALAN STANDARD (SOP) KETIKA MENGHADIRI SEBARANG JENIS PERHIMPUNAN DAN KETIKA BERADA DI TEMPAT AWAM

/ sorotan, highlights, Patuh SOP

Seperti diketahui umum, COVID-19 menular dari individu ke individu lain melalui titisan cecair pernafasan (respiratory droplet) apabila seseorang batuk, bersin, bercakap dan melalui sentuhan. Oleh yang demikian, sekiranya jarak fizikal di antara seseorang individu dan individu lain kurang dari jarak satu (1) meter, risiko jangkitan adalah lebih tinggi.

Kebelakangan ini, didapati semakin banyak kluster-kluster yang terbentuk daripada perhimpunan sosial yang tidak mengikut SOP. Ini termasuklah perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan.

Menurut laporan siasatan yang diterima, perhimpunan-perhimpunan ini telah turut dihadiri oleh individu-individu yang bergejala. Sebagai contoh:

  1. Kluster Enggor di negeri Perak dan Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Kes-kes yang dilaporkan di dalam kluster ini bermula dengan perhimpunan keluarga yang seterusnya telah merebak dalam komuniti;
  2. Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah di antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian; dan
  3. Kluster Mentari yang melibatkan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berpunca daripada upacara keagamaan yang melibatkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir di sebuah upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

Penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit, namun mengambil iktibar daripada kejadian kluster-kluster ini, masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan di dalam komuniti.

Aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP dapat meningkatkan risiko penularan COVID-19 kepada orang ramai. Justeru, adalah amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan COVID-19. Penularan virus ini boleh dielakkan dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal yang selamat, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer serta pemakaian alat pelitup muka.

KKM menggesa orang ramai supaya tetap patuh kepada SOP di semua keadaan dan tempat. Biasakan yang betul, dan betulkan yang biasa.

TERUS PATUH KEPADA S.O.P

Muat turun aplikasi MySejahtera untuk membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia!

Next Post Previous Post