TIGA KLUSTER BAHARU dilaporkan pada hari ini

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat tiga (3) kluster baharu yang telah dikenal pasti, iaitu dua (2) di Sabah dan satu (1) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Berikut adalah perincian bagi ketiga-tiga kluster tersebut:

1. Kluster Buang Sayang

Kluster ini telah dikenal pasti di Sipitang, Sabah. Kes indeks kluster ini merupakan kes ke-10265. Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang, Sabah dari 7 September 2020 sehingga 20 September 2020. Kes mula mengalami gejala demam, selesema dan sakit tekak pada 19 September dan kemudiannya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 20 September 2020 dan kes telah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 27 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 10 individu telah disaring, di mana:

  • Empat (4) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • Enam (6) individu masih menunggu keputusan.


2. Kluster Kg. Sakong

Kluster ini telah dikenal pasti di Semporna, Sabah. Kes indeks kluster ini merupakan kes ke-10154. Kes dikesan positif COVID-19 pada 18 September 2020 melalui saringan komuniti. Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 27 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 66 individu telah disaring, di mana:

  • Sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 57 individu masih menunggu keputusan.


3. Kluster Setapak

Kluster ini telah dikenal pasti di Setapak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks kluster ini merupakan kes ke-10689. Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 17 September 2020 sehingga 20 September 2020. Kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 September 2020. Kes dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada 25 September 2020 di mana saringan COVID-19 didapati positif pada hari yang sama. Kes seterusnya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah (iaitu kes ke-10770) dan rakan (iaitu kes ke-10771) kepada kes indeks. Mereka turut dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 27 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 20 individu telah disaring, di mana:

  • Tiga (3) kes dikesan positif COVID-19;
  • 16 individu dikesan negatif COVID-19; dan
  • Satu (1) individu masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sedang dijalankan di semua lokasi yang telah dikenal pasti bagi semua kluster di atas.

Next Post Previous Post