KKM KHUATIR KES IMPORT DIJANGKA MENINGKAT EKORAN MUSIM SEJUK

Rata-rata negara dari benua Amerika, Eropah dan Asia Tenggara sedang melihat kenaikan kes COVID-19 sepertimana yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Perkara ini kemungkinan menggusarkan kebanyakan negara hemisfera utara yang bakal berhadapan dengan musim sejuk. Tambahan pula, penyakit saluran pernafasan termasuk jangkitan paru-paru lazimnya lebih banyak dilaporkan sepanjang musim sejuk berbanding dengan musim-musim lain. Situasi ini membimbangkan kerana kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia mutakhir ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, meskipun mereka dikuarantin di pusat kuarantin sejurus memasuki Malaysia.

Turut didapati bahawa, nilai Rt atau R naught (R0), iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat sedikit meningkat di Malaysia. Pada 26 Ogos 2020, Rt yang dilaporkan adalah 0.74, namun kini ianya telah meningkat sehingga 1.0. Oleh yang demikian, kita perlu meneruskan dan memantapkan lagi kawalan sempadan antarabangsa. Kawalan sempadan antarabangsa yang masih dalam pelaksanaan wajar diteruskan, malah perlu diperkukuhkan bagi memastikan jangkitan COVID-19 dari luar negara tidak menular ke dalam Malaysia. Implementasi kawalan sempadan yang lebih ketat sememangnya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

KAWALAN PINTU SEMPADAN NEGARA
Susulan itu, KKM menyambut baik keputusan untuk menyekat kemasukan pemegang Pas Jangka Masa Panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) dalam sidang media beliau sebantar tadi.

Sekatan ini akan mula berkuatkuasa pada 7 September 2020. Masyarakat juga diminta untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sambil mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 misalnya, amalkan 3W dan elakkan 3C pada setiap masa di mana jua anda berada. Orang ramai perlu memainkan peranan masingmasing dalam memerangi wabak COVID-19 dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap komuniti, masyarakat dan negara.

Next Post Previous Post