COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SITUASI COVID-19 SETIAP NEGERI DIPANTAU TELITI. SABAH JADI PRIORITI.

Pemantauan teliti setiap negeri mengenai situasi COVID-19 dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti. Sabah memang diberi prioriti. Siapsiaga perkhidmatan hospital dan rawatan pesakit dipantau khususnya oleh CPRC Perkhidmatan Hospital (Crisis Preparedness Response Centre of Hospital Services) yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Perubatan (TKPK Perubatan), CPRC Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, dan Mesyuarat peringkat tertinggi KKM yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia

CPRC Perkhidmatan Hospital terdiri dari anggota pasukan kesihatan pelbagai disiplin di belakang tabir ("backliners") diberikan tanggungjawab mengikut kepakaran masing-masing. Program Perubatan sentiasa memastikan kelancaran kesiapsiagaan hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID -19 Berisiko Rendah (PKRC), kelengkapan unit rawatan rapi seperti ventilator, kesiapsiagaan makmal dan ujian COVID-19 mahupun alat pelindungan digunakan oleh anggota kesihatan barisan hadapan, dan sebagainya.

Setiap hari, seawal 7.30 pagi, saya selaku TKPK Perubatan dan Dato' Dr. Norhizan bin Ismail, Pengarah Perkembangan Perubatan akan membentangkan segala data serta makluman yang diterima dari peringkat negeri termasuk Sabah untuk dibincangkan dan diperhalusi bersama Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Pada masa yang sama, Program Perubatan turut sama menyertai dan memberi input dalam Mesyuarat Crisis Preparedness and Response Centre ( CPRC ) Kebangsaan. Setiap data sentiasa dipantau dan dianalisa untuk memastikan sebarang strategi atau keputusan yang diambil memberikan impak yang positif dan optimum. Matlamat utama adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19 dan pada masa yang sama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan perubatan tidak terjejas.

Sejajar dengan Norma Baharu, Program Perubatan KKM telah mengadakan mesyuarat bersama pihak negeri yang dilakukan secara maya untuk mendapatkan situasi sebenar di hospital. Keluhan serta masalah yang dihadapi dibincangkan agar suatu penyelesaian yang terbaik dapat diputuskan dengan segera. Sebagai contoh, pelbagai siri mesyuarat bersama doktor pakar, Pengarah Hospital Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan lain-lain pihak berkepentingan, bagi meneliti situasi COVID-19 khusus negeri Sabah telah diadakan pada 8.8.2020, 1.10.2020, 19.10.2020, 23.10.2020 dan 28.10.2020.

Malah, pengurusan tertinggi KKM turut turun padang secara tersusun dan berjadual bagi melawat sendiri negeri-negeri yang terjejas teruk seperti Sabah dan Kedah untuk memastikan pelaksanaan setiap strategi yang dirancangkan berjalan dengan lancar serta memberi sokongan moral kepada anggota kesihatan yang terlibat. Misalnya YB Timbalan Menteri Kesihatan melawat Sabah (28-30 April 2020), Ketua Pengarah Kesihatan (28-29 Ogos 2020), TKPK Penyelidikan & Sokongan Teknikal dan juga Pengarah Kawalan Penyakit (24-25 September 2020), YB Menteri Kesihatan dan Pengarah Perkembangan Perubatan (24 September 2020), Tan Sri Jemilah selaku Penasihat Kesihatan Awam Kepada YAB PM (20-31Oktober 2020) dan TKPK Kesihatan Awam (29-5 November 2020).

Sejak 10 bulan yang lalu, tanpa keluhan dan tanpa rasa jemu, KKM terus komited untuk memberikan hanya yang terbaik kepada rakyat dan negara. Perjuangan ini tentunya bukanlah hanya ditangani oleh KKM sahaja, namun bersama usaha pelbagai pihak seperti NADMA, ATM, MKN dan sebagainya termasuklah rakyat Malaysia.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

kitajagakita

putuskanrantaianCOVID19

Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin. Hj. Yon,

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan),

Kementerian Kesihatan Malaysia

Next Post Previous Post