KEUPAYAAN MALAYSIA MERAWAT PESAKIT COVID-19 - KADAR SEMBUH DAN KADAR KEMATIAN DI MALAYSIA BERBANDING DUNIA
Sehingga kini, dunia masih bergelut memerangi pandemik COVID-19. Pelbagai usaha dilaksanakan di peringkat global mahupun Malaysia untuk memenangi peperangan ini. Kerjasama yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi SOP dan juga pengorbanan besar petugas barisan hadapan yang sanggup berdepan dengan kes jangkitan COVID-19 serta petugas belakang tabir (backliners) adalah dihargai.
Jika dilihat perbandingan berdasarkan data antarabangsa misalnya melalui Worldometer.info, kematian bagi setiap 1 juta penduduk contohnya Syarikat adalah 741, United Kingdom (732), Indonesia (54) dan Filipina (70). Manakala, kematian di Malaysia masih berada di tahap yang rendah iaitu 9 kematian bagi setiap 1 juta penduduk.
Bagi Malaysia, analisis menunjukkan kematian COVID-19 kebanyakannya terdiri daripada pesakit berusia 50 tahun ke atas iaitu sebanyak 85.4%. Lain-lain faktor utama yang turut menyumbang kepada kematian pesakit COVID-19 adalah bilangan komorbiditi yang dihidapi seperti penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis dan penyakit jantung serta jangkamasa pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

Pelbagai strategi dirancang dan dilaksanakan oleh KKM telah menunjukkan kesan positif di mana kadar kematian yang direkodkan setakat ini di Malaysia adalah 0.6% masih rendah berbanding rekod kematian di negara lain.
Walaubagaimanapun, perjuangan dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 ini masih belum selesai. KKM masih berusaha bagi mempertingkatkan kadar sembuh dan mengurangkan kadar kematian COVID-19 selain terus meningkatkan tahap penyampaian kesihatan kepada semua pesakit sama ada pesakit COVID-19 atau pesakit bukan COVID-19.
KKM akan sentiasa memastikan kesiapsiagaan fasiliti hospital termasuk kelengkapan Unit Rawatan Rapi dan alat bantuan pernafasan (ventilator), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), kesiapsiagaan makmal, pengagihan PPE dan konsumabels serta mobilisasi anggota kesihatan turut berada pada tahap yang lebih optimum.
Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia