PUSAT PENSAMPELAN COVID-19 LIKAS (LIKAS SAMPLING CENTER – LSC COVID-19)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Dr Maria Suleiman, Pakar Perubatan Kesihatan Awam telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pusat Persampelan COVID -19 Likas (Likas Sampling Center – LSC COVID-19), Kota Kinabalu pada 1 November 2020.

LCS COVID-19 mula beroperasi pada 7 Mei 2020 di Kompleks Gymnasium Likas, namun telah berpindah ke lokasi yang lebih kondusif iaitu di Dewan Boling Padang, Likas pada 21 Julai 2020. LCS COVID-19 ini adalah di bawah pengendalian Sektor Pembangunan Kesihatan Keluarga dan Unit Inspektorat dan Perundangan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu. Seramai 30 orang kakitangan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jururawat serta sukarelawan bukan kerajaan (NGO) ditempatkan di pusat ini.

LSC COVID-19 memberikan perkhidmatan yang komprehensif dalam pengendalian Person under Investigation (PUI), Person Under Surveillance (PUS) serta pesakit-pesakit yang telah sembuh dari COVID-19. Perkhidmatan yang diberikan adalah pengambilan sampel untuk ujian COVID-19 bagi RT-PCR, RTK-Antigen (Ag) dan RTK-Antibodi (Ab) di mana ujian RTK-Ag dan RTK-Ab dijalankan di pusat ini. Di samping itu, pusat ini juga memberi perintah Home Surveillance Order (HSO) dan pelepasan arahan HSO kepada kontak rapat kes COVID-19. LCS COVID-19 juga menguruskan temujanji untuk rawatan susulan ke klinik kesihatan berhampiran bagi pesakit-pesakit yang telah sembuh dari COVID-19.
Pusat ini dibuka setiap hari mulai jam 8 pagi sehingga 5 petang dengan purata kedatangan sehari sekitar 500 ke 600 orang.