COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KESIAPSIAGAAN UNIT RAWATAN RAPI (ICU) DAN ALAT BANTUAN PERNAFASAN (VENTILATOR) DI HOSPITAL KKM

/ Kesiapsiagaan KKM

Berdasarkan data di peringkat global, anggaran 80% pesakit COVID-19 adalah sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan. Manakala, 15% pesakit COVID-19 adalah bergejala dan mempunyai jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen. Selebihnya, 5% pesakit COVID-19 mempunyai jangkitan paru-paru kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator). Dunia turut menyaksikan keperluan ventilator yang melonjak memandangkan ia sangat diperlukan di Unit Rawatan Rapi. Akibat kekangan ventilator terdapat negara yang terpaksa mengambil pendekatan perkongsian satu ventilator kepada beberapa pesakit.

KKM telah mengambil inisiatif proaktif kesiapsiagaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan (ventilator) khusus bagi rawatan pesakit COVID-19 kritikal tersebut. Ini adalah penting bagi memastikan pesakit COVID-19 yang kritikal boleh dirawat secara optimum. Pada 31 Mac 2020, terdapat 40 hospital yang merawat pesakit COVID-19 dengan kapasiti katil ICU sebanyak 534. Daripada jumlah 534 katil, 416 telah dikhususkan bagi pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan 27%. Kini pada 2 November 2020, jumlah hospital yang merawat pesakit COVID-19 telah meningkat kepada 46 hospital dengan kapasiti katil ICU sebanyak 910. Dari jumlah 910 tersebut, 516 katil telah dikhususkan untuk pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan 24%.

Bagi hospital COVID-19 di negeri Sabah, pada 31 Mac 2020 terdapat 66 jumlah katil ICU. Daripada 66 katil tersebut, 60 dikhususkan untuk pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan 5%. Kini, kapasiti katil ICU di Sabah telah meningkat kepada 149 katil. Daripada jumlah tersebut, 130 dikhususkan untuk pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan 60%.
Bagi memantapkan lagi kesiapsiagan perkhidmatan hospital, peruntukan tambahan turut telah disediakan untuk Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu bagi tujuan pembinaan ICU tambahan dan juga naik taraf kemudahan ICU sedia ada di HQE termasuk pembelian peralatan perubatan kritikal seperti ventilator, katil pesakit dan patient monitors.

Selain itu, Hospital Duchess of Kent, Sandakan juga mendapat peruntukan untuk pembinaan ICU tambahan. Adalah ditegaskan bahawa, pembinaan atau renovasi ruang tertentu menjadi ICU adalah berdasarkan tatacara dan standard, mengambil kira spesifikasi ICU termasuk aspek saluran bekalan oksigen, bekalan elektrik, peralatan seperti ventilator, jenis katil pesakit, kawalan penyakit dan sebagainya bagi memastikan bukan sahaja rawatan optimum dapat diberikan malah, tiada jangkitan silang dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit ICU. Sehingga kini, tiada petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 semasa bertugas di ICU, mahupun di wad rawatan COVID-19.

Dari segi kesediaan ventilator pula, pada awal Mac 2020 terdapat 634 ventilator di hospital COVID-19 seluruh negara. Kini, bilangan ini meningkat kepada 1,532 ventilator dengan kadar penggunaan sebanyak 35%. Bagi hospital COVID-19 di negeri Sabah pula, terdapat 74 ventilator pada awal Mac 2020 dan bilangan ini meningkat kepada 193 dengan kadar penggunaan 27% setakat ini.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat bin Hj. Yon

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

Kementerian Kesihatan Malaysia

Next Post Previous Post