PENINGKATAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN RAWATAN PESAKIT KKM MELALUI PENYUMBER LUARAN (OUTSOURCING)
Penularan pandemik COVID-19 di Malaysia yang bermula sejak Januari 2020 telah memberi tekanan kepada perkhidmatan perubatan di hospital KKM berikutan peningkatan bilangan pesakit COVID-19 selain perlu mematuhi norma baharu termasuklah penjarakan fizikal.
Cabaran ini telah ditangani dengan pelbagai strategi antaranya penyusunan semula tarikh temu janji pesakit dan penyusunan semula tarikh pembedahan elektif yang tertangguh. Bagi memberi perkhidmatan yang lebih optimum kepada rakyat, KKM tetap meneruskan perkhidmatan rawatan sama ada kepada pesakit COVID-19 mahupun pesakit bukan COVID-19. Rawatan bagi pesakit yang memerlukan intervensi segera seperti kes kritikal dan semi kritikal khususnya kes kecemasan, kes obstetrik, kes jantung, kanser dan lain -lain tidak diabaikan dan diberikan rawatan seawal mungkin.
Selain itu, pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan bagi memastikan rawatan dapat dilakukan dengan segera tanpa penangguhan seperti aplikasi konsep hospital kluster secara meluas, pengenalan klinik maya (virtual clinic) dan juga perlanjutan masa yang diperuntukkan untuk pembedahan elektif sehingga melepasi waktu pejabat. Tambahan lagi, hospital KKM turut melakukan pembedahan elektif pada hari cuti Sabtu bagi mengurangkan kes-kes tertunda.
Bagi memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih efektif, KKM telah mengambil inisiatif tambahan kesiapsiagaan hospital menerusi penyumber luaran (outsourcing) di mana pesakit bukan COVID-19 dihantar dan dirawat di hospital swasta. Antaranya adalah pesakit yang memerlukan perkhidmatan radiologi, kes kanser wanita, kes ketumbuhan atau kanser payudara, kes jantung (Coronary Artery Bypass Graft, angioplasty), fistula arterio-vena bagi tujuan hemodialisis, kes urologi dan juga kes ortopedik.
Inisiatif penyumber luaran ini bertujuan untuk memastikan pesakit bukan COVID-19 terus dapat menerima rawatan segera tanpa penangguhan. Ini dapat mengelakkan komplikasi kepada pesakit serta mengurangkan kadar mortaliti dan morbiditi. Tambahan lagi, langkah ini juga membolehkan lebih banyak kemudahan katil di hospital awam boleh digunakan untuk menampung peningkatan kemasukan pesakit COVID-19. Penyumber luaran ini adalah selari dengan konsep pengukuhan kerjasama awam – swasta.
Setakat ini, terdapat 9 negeri yang terlibat dalam inisiatif penyumber luaran ini iaitu Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Pahang dan Kelantan melibatkan 23 hospital KKM dan 33 hospital swasta. Melalui inisiatif ini, sebanyak 3,667 pembedahan dan sebanyak 161 prosedur yang telah dirancang untuk dilakukan di hospital swasta yang melibatkan 3,828 pesakit.
Datuk Dr. Hj Rohaizat B. Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan ( Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia