KERJASAMA KKM DENGAN SEKTOR KESIHATAN SWASTA BAGI MENANGANI PANDEMIK COVID-19
Semenjak fasa awal pandemik COVID-19 ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah bekerjasama dengan sektor kesihatan swasta iaitu hospital, klinik dan makmal swasta bagi menghadapi peningkatan kes. Kerjasama ini bertujuan antara lain bagi mengoptimakan sumber dan kemudahan kesihatan sedia ada dalam negara di pelbagai sektor seterusnya memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan yang disediakan untuk rakyat.
1. Kerjasama dengan hospital swasta
Melalui kerjasama dengan Persatuan Hospital-hospital Swasta Malaysia (APHM), KKM telah melaksanakan penyumberan luar perkhidmatan perubatan khususnya pembedahan atau prosedur untuk pesakit bukan COVID-19 yang tertangguh akibat dari wabak tersebut. Perkhidmatan yang ditawarkan ini adalah pada harga atau caj yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Untuk itu, sebanyak RM49 juta bagi 3764 pembedahan/ prosedur dalam 19 disiplin klinikal telah diperuntukan. Inisiatif ini melibatkan 23 hospital KKM dan 31 hospital swasta. Kerajaan akan terus menggunakan pendekatan “whole of society” dan “whole of government”, sesuai dengan keperluan semasa.
Bagi rawatan pesakit COVID-19 pula, sehingga 24 November 2020, belum ada hospital swasta di negara ini yang bersedia merawat pesakit COVID-19. KKM tiada halangan malah mengalu-alukan hospital swasta untuk merawat pesakit COVID-19 sekiranya mempunyai kepakaran dan kemudahan sewajarnya bagi tujuan tersebut.
2. Kerjasama dengan makmal swasta
Pada awal pandemik, KKM mempunyai 6 makmal yang berupaya menjalankan ujian COVID-19 dengan kapasiti 832 ujian sehari. Sehingga 23 November 2020, bilangan makmal KKM ini telah meningkat kepada 26 makmal. Selain itu, 16 makmal dari agensi kerajaan lain termasuk universiti turut membantu. Makmal swasta juga memainkan peranan penting di mana 20 makmal swasta menjalankan ujian COVID-19. Sehingga kini, terdapat keseluruhan 62 makmal di seluruh negara dengan kapasiti 59,485 ujian sehari di mana makmal swasta menyumbang sebanyak 39,996 ujian sehari. Selain itu, bagi membantu negeri Sabah, sampel dihantar ke Semenanjung melalui kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia dan syarikat poslaju ke makmal kerajaan dan juga makmal swasta.
3. Saringan COVID-19 di fasiliti swasta termasuk kinik perubatan swasta
KKM juga memberi kelulusan untuk sektor swasta turut sama terlibat dalam proses pengambilan sampel di fasiliti berikut:
a) Klinik perubatan swasta (private medical clinic)
b) Pusat jagaan ambulatori swasta (private ambulatory care centre); atau
c) Hospital swasta (private hospital).
Fasiliti kesihatan swasta seperti di atas juga dibenarkan untuk menjalankan proses pengujian sampel di fasiliti itu sendiri bergantung kepada kemudahan yang tersedia di tempat pengambilan sampel dan juga jenis saringan yang dijalankan (RTK Ag/RT-PCR). Bagi fasiliti yang tidak mempunyai kemudahan tersebut, sampel akan dihantar ke sebuah makmal perubatan swasta yang telah diakreditasi oleh KKM.
(Makmal perubatan swasta tidak terlibat dalam proses pengambilan sampel dan hanya melakukan pengujian ke atas sampel yang diterima).
Setakat ini, 432 klinik perubatan swasta , 9 pusat jagaan ambulatori dan 123 hospital swasta terlibat dalam memberikan perkhidmatan ini.
Pada masa yang sama, klinik perubatan swasta juga turut dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan health screening booth secara on-site di tempat selain di fasiliti tersebut di atas, iaitu seperti di sebuah kilang, dewan orang ramai atau bangunan pejabat.
4. Bantuan sumber perubatan dan tenaga kerja dari sektor kesihatan swasta
Sektor kesihatan swasta turut memainkan peranan yang penting dalam memberi bantuan sumber perubatan dan tenaga kerja yang disalurkan kepada KKM dalam menangani pandemik ini. KKM menghargai bantuan yang telah diberikan misalnya alat bantuan pernafasan (ventilator), alat pelindung diri (PPE) serta tenaga kerja kesihatan seperti pakar perubatan, pegawai Perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat dan anggota sains kesihatan bersekutu (Allied Health Personnel).
Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia
