COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KESIAPSIAGAAN UNIT RAWATAN RAPI (ICU) DAN ALAT BANTUAN PERNAFASAN (VENTILATOR) DI HOSPITAL KKM (26/10/2020)

/ Kesiapsiagaan KKM

Perkhidmatan di ICU memang penting kerana dianggarkan 3-5% pesakit COVID-19 adalah Kategori 5 yang memerlukan rawatan di ICU dengan alat bantuan pernafasan. Bagi menangani peningkatan kes COVID-19, keperluan penyediaan katil ICU telah dipertingkatkan di seluruh negara. Terdapat peningkatan daripada 514 katil pada 26 Oktober 2020, berbanding 50 katil ICU pada peringkat awal pandemik di bulan Mac 2020. Sehingga 26 Oktober 2020, kadar penggunaan katil ICU adalah 23% sahaja, dan masih mempunyai kapasiti sebanyak 77%.

Sehingga 26 Oktober 2020, terdapat 1,539 ventilator di seluruh negara. Ini menunjukkan peningkatan, berbanding 50 ventilator di peringkat awal penularan wabak COVID-19 pada bulan Mac 2020. Kadar penggunaan ventilator di seluruh negara adalah 37% sahaja dan masih mempunyai 63% ventilator untuk digunakan sekiranya diperlukan.

Bagi negeri Sabah pula, setakat 26 Oktober 2020, terdapat 150 katil ICU dengan kadar penggunaan sebanyak 69%, manakala ventilator pula adalah sebanyak 193 dengan kadar penggunaan sebanyak 33%. Selain itu, peruntukan tambahan telah diluluskan untuk mempertingkatkan ICU di Hospital Queen Elizabeth serta mewujudkan ICU tambahan di hospital sama. Malah, Hospital Duchess of Kent juga mendapat peruntukan untuk ICU tambahan.

Bilangan katil ICU telah dan akan terus dipertingkatkan dengan membuat ubah suai dan renovasi kawasan klinikal tertentu misalnya wad rawatan harian menjadi ICU. Renovasi dan ubah suai ini dibuat melalui kepakaran KKM di Bahagian Perkembangan Perubatan, Bahagian Perancangan, Bahagian Kejuruteraan dan Bahagian Pembangunan dengan mengambil kira spesifikasi ICU dan situasi COVID-19 misalnya dari aspek saluran bekalan oksigen, bekalan elektrik, peralatan seperti ventilator, jenis katil pesakit dan sebagainya bagi memastikan tiada jangkitan silang dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit ICU. Sehingga kini, tiada petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 di ICU, mahupun di wad rawatan COVID-19.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat bin Hj. Yon

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

Kementerian Kesihatan Malaysia

Next Post Previous Post