COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KESIAPSIAGAAN HOSPITAL KKM (24/10/2020)

/ Kesiapsiagaan KKM

Bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan dalam rawatan dan menangani penularan wabak pandemik COVID-19, Program Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa meningkatkan keupayaan hospital.

Sehingga 24 Oktober 2020, terdapat 45 hospital untuk rawatan pesakit COVID-19 di seluruh negara dengan kapasiti sebanyak 3,686 katil dan kadar penggunaan 48%. Selain itu, KKM menyediakan 56 Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 8,760 katil di seluruh negara dengan kadar penggunaan sebanyak 31%. Jumlah keseluruhan katil di hospital dan di PKRC adalah sebanyak 12, 446 dengan kadar penggunaan 36%. Hospital dan PKRC KKM masih berupaya menampung jika berlaku peningkatan kes.
Bagi negeri Sabah pula, terdapat 9 hospital untuk rawatan pesakit COVID-19 dengan kapasiti 1,123 katil di mana kadar penggunaan adalah 70%. Bagi menampung pertambahan bilangan pesakit, KKM menyediakan 26 PKRC dengan kapasiti 4,730 katil dan kadar penggunaannya sebanyak 32%. Jumlah keseluruhan katil di hospital dan di PKRC di Sabah adalah sebanyak 5,853 dengan kadar penggunaan 38%. Hospital dan PKRC di Sabah masih berupaya menampung jika berlaku peningkatan kes.

Selain itu, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain telah mewujudkan Hospital Medan di Tawau untuk merawat pesakit bukan COVID-19 dengan kapasiti 100 katil. Dengan adanya Hospital Medan ini, maka Hospital Tawau akan dapat memberi lebih tumpuan kepada rawatan pesakit COVID-19.

Datuk Dr. Hj Rohaizat bin Hj Yon

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

Kementerian Kesihatan Malaysia

Next Post Previous Post