ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA (MINGGU EPIDEMIOLOGI 4/2022)
Bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke 4 yang bermula dari 23 Januari 2022 sehingga 29 Januari 2022, jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah 31,980 kes berbanding ME sebelumnya, iaitu dengan peningkatan sebanyak 34.6%. Manakala jumlah kes kematian pula menunjukkan penurunan sebanyak 27.5% dengan purata kes aktif adalah sebanyak 46,158 kes. Selain dari itu, jumlah kes sembuh COVID-19 yang dilaporkan pada ME ke 4 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 20.9%. Berikut adalah perincian indikator-indikator jangkitan COVID-19 untuk ME ke 4;
1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19
- Peningkatan kes baharu sebanyak 34.6% iaitu daripada 23,752 kes (ME 3) kepada 31,980 kes (ME 4);
- Purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 14.0% dengan purata sebanyak 40,473kes (ME 3) kepada 46,158 kes (ME 4);
- Walau bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 27.5% sehingga mencapai dua angka iaitu dengan 74 kematian pada ME 4 berbanding 102 kematian pada ME 3. Penurunan ini dicatatkan semenjak ME 52/2021. Untuk makluman, kali terakhir kes kematian mingguan mencatat angka dua digit adalah pada ME 17/2021 iaitu sebanyak 95 kes.
- Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU juga menunjukkan penurunan sebanyak 15.5% iaitu 109 kes (ME 4) berbanding 129 kes (ME 4). Penurunan kes ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU dicatatkan sejak 11 minggu lalu iaitu pada ME 45/2021;
- Selain itu, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan sebanyak 11.5% iaitu 46 kes pada ME 4 berbanding 52 kes pada ME 3. Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan semenjak 23 minggu yang lalu pada ME 33/2021; dan
- Purata nilai RT meningkat sebanyak 10.9% daripada 1.01 (95% CI 1.00 – 1.02) pada ME 3 kepada 1.12 (95% CI 1.11 – 1.13) pada ME 4.

Rajah 1 di bawah jelas menunjukkan tren penggunaan ICU untuk kes COVID-19 semakin menurun sejak 11 minggu yang lalu iaitu pada ME 45/2021.

Selain itu, tren penurunan penggunaan alat bantuan pernafasan untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat dengan ketara mulai 23 minggu lepas iaitu ME 33/2021 berdasarkan Rajah 2.

2. Kapasiti Hospital
Pada ME ke 4, kadar penggunaan katil ICU menunjukan penurunan manakala katil bukan ICU dan katil PKRC menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya seperti yang diperincikan di Jadual 4.


Penggunaan katil hospital menunjukkan penurunan sejak beberapa minggu yang lepas (Rajah 3), namun dengan kenaikan kes COVID-19 yang berkaitan dengan varian Omicron telah menyebabkan peningkatan penggunaan katil di hospital sebanyak 3%. Selain itu, penggunaan katil PKRC juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 6% berikutan peningkatan kluster pendidikan di mana pelajar asrama akan dimasukkan ke PKRC sekiranya tiada tempat isolasi yang sesuai bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelajar lain dan juga komuniti.
Oleh yang demikian, KKM menasihatkan orang ramai agar segeralah mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19 (dos 1, dos 2, dan dos penggalak) bagi mengurangkan komplikasi jangkitan COVID-19 seterusnya membantu memastikan pengisian katil di fasiliti kesihatan adalah terkawal. Bagi yang telah menerima vaksin COVID-19 pula, teruskan menjaga SOP dengan mengamalkan dan memperkukuhkan kawalan kendiri.
3. Kluster
Sejumlah 6,399 kluster telah dicatatkan sehingga 29 Januari 2022. Terkini, masih terdapat 291 kluster yang masih aktif iaitu peningkatan sebanyak 29.3% berbanding ME 3. Pada ME ke 4, sebanyak 40 kluster telah diisytiharkan tamat dengan peningkatan sebanyak 2.6% berbanding ME 3 dan terdapat 106 kluster baharu telah dilaporkan pada ME 4, iaitu:
- 81 (76.4%) kluster pusat pendidikan;
- 19 (17.9%) kluster tempat kerja;
- Empat (4) (3.8%) kluster komuniti;
- Dua (2) (1.9%) kluster kumpulan berisiko tinggi;

Berdasarkan Jadual 3 di atas, masih terdapat peningkatan kluster baharu dalam beberapa kategori kluster seperti tempat kerja, institusi pendidikan dan komuniti selari dengan pembukaan semua sektor sosial dan sesi persekolahan. Berkenaan peningkatan kluster institusi pendidikan, KKM dan agensi-agensi berkaitan sentiasa berusaha untuk mengemaskini Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa dalam memastikan proses pembelajaran dapat berjalan lancar dan selamat. Oleh itu, KKM memohon semua pihak untuk sentiasa mematuhi SOP yang disediakan supaya kewujudan kluster pendidikan baharu dapat dielakkan.
Selain itu, kluster komuniti yang dilaporkan ini berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga atau kontak rapat. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah sekiranya bergejala dan melakukan ujian kendiri dengan kadar segera agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan secepat mungkin. Masyarakat diharapkan mempunyai disiplin yang tinggi dalam pematuhan SOP dan pengamalan TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum dan Dapatkan Rawatan) dalam kehidupan seharian bagi mengelakkan kewujudan kluster dalam komuniti.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM