ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA (MINGGU EPIDEMIOLOGI 3/2022)
Bagi Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022 yang bermula dari 16 Januari 2022 sehingga 22 Januari 2022, jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah 23,752 kes (peningkatan sebanyak 7.9 peratus) dengan jumlah kes kematian sebanyak 102 kes (penurunan sebanyak 19.0 peratus) berbanding ME 2/2022,manakala purata kes aktif adalah sebanyak 40,473 kes. Berikut adalah perincian indikator-indikator jangkitan COVID-19;
1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19
- Peningkatan kes baharu sebanyak 7.9 peratus iaitu daripada 22,006 kes (ME 2/2022) kepada 23,752kes (ME 3/2022);
- Purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 2.4 peratus dengan purata sebanyak 39,507 kes (ME 2/2011) kepada 40,473kes (ME 3/2022);
- Walau bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 19.0 peratus dengan 102 kematian pada ME 3/2022 berbanding 126 kematian pada ME 2/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021.
- Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU juga menunjukkan penurunan sebanyak 30.3 peratus iaitu 129 kes (ME 3/2022) berbanding 185 kes (ME 2/2022). Penurunan kes ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan kepada kes ICU pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU secara konsisten dicatatkan sejak 10 minggu lalu pada ME 45/2021;
- Selain itu, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 23.5 peratus iaitu 52 kes (ME 3/2022) berbanding 68 kes (ME 2/2022). Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan semenjak 22 minggu yang lalu pada ME 33/2021 dan;
- Purata nilai RT meningkat sebanyak 2.0 peratus daripada 0.99 (95% CI 0.98 – 1.00) pada ME 2/2022 kepada 1.01 (95% CI 1.00 – 1.02) pada ME 3/2022.

Rajah 1 di bawah jelas menunjukkan tren penggunaan ICU untuk kes COVID-19 semakin menurun sejak 10 minggu yang lalu iaitu ME 45/2021.

Selain itu, tren penurunan penggunaan alat bantuan pernafasan untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat dengan ketara mulai 22 minggu lepas iaitu ME 33/2021 berdasarkan Rajah 2.

2. Kluster
Daripada kumulatif 6,293 kluster yang dilaporkan setakat 22 Januari 2022, terdapat 225 kluster aktif (peningkatan sebanyak 27.8 peratus berbanding ME 2/2022). Sebanyak 39 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME 3/2022. Terdapat 88 kluster baharu telah dilaporkan pada ME 3/2022, iaitu:
- 62 (70.5 peratus) kluster pusat pendidikan;
- 18 (20.5 peratus) kluster tempat kerja;
- Empat (4) (4.6 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi;
- Satu (1) (1.1 peratus) kluster komuniti;
- Satu (1) (1.1 peratus kluster keagamaan;
- Satu (1) (1.1 peratus) kluster import; dan
- Satu (1) (1.1 peratus) kluster pusat tahanan.

Pada ME 3/2022, kluster institusi pendidikan menunjukkan peningkatan yang mendadak sebanyak 313.3 peratus. Selain itu, kluster tempat kerja dan kluster pusat tahanan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus dan 100 peratus. Kluster komuniti, kluster kumpulan berisiko tinggi, dan kluster import pula masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 88.9 peratus, 20.0 peratus, dan 66.7 peratus pada ME 3/2022 berbanding ME 2/2022 (Jadual 3).
Seperti semua sedia maklum, sesi persekolahan telah bermula pada 9 Januari 2022 seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Peningkatan mendadak kluster pendidikan adalah sangat membimbangkan kerana individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama yang boleh menyebabkan tercetusnya kluster yang tidak diingini sekiranya seseorang individu tidak patuh terhadap SOP yang sedia ada.
Walaupun kebanyakan populasi dewasa dan remaja telah menerima vaksin COVID-19, pematuhan SOP perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan. Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan amat penting dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19. Selain itu, KKM ingin mengingatkan semua pihak agar sentiasa menjalani saringan COVID-19 sekiranya bergejala sebelum hadir ke kawasan sekolah atau institusi pendidikan. Keselamatan dan kesihatan warga pendidikan perlu diberi perhatian agar dapat mengurangkan serta mencegah kluster baharu pendidikan. Oleh itu, KKM akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak KPM dan KPT bagi mengukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 di institusi pendidikan.
3. Kapasiti Hospital
Pada ME 3/2022, kadar penggunaan katil PKRC menunjukkan peningkatan berbanding ME 2/2022. Kadar penggunaan katil ICU dan katil bukan ICU pula menunjukkan penurunan manakala kadar penggunaan alat bantuan pernafasan tidak mencatatkan sebarang perubahan berbanding minggu sebelumnya seperti yang diperincikan di Jadual 4.

Walaupun gelombang Omicron dijangka akan menyebabkan peningkatan penggunaan katil bukan ICU (Hospital) untuk short stay admission, pada ME 3/2022, hanya penggunaan katil PKRC yang meningkat iaitu sebanyak empat (4) peratus. Penurunan ini selari dengan peningkatan peratusan populasi terima dos penggalak seperti yang dicatatkan dalam Rajah 3.

Oleh yang demikian, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar segeralah mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19 (dos 1, dos 2, dan dos penggalak) supaya pengisian katil fasiliti kesihatan ini berada dalam keadaan terkawal. Bagi yang telah menerima vaksin COVID-19 pula, teruskan menjaga SOP dan sentiasa mengamalkan dan memperkukuhkan kawalan kendiri.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM