COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) KE-52

Pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-52 iaitu sepanjang 26 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022, sebanyak 23,071 kes baharu telah dilaporkan dengan 198 kes kematian, dan 40,963 purata kes aktif. Namun begitu, nilai Rt/Ro Malaysia turut mencatatkan peningkatan harian kepada 0.99 (95% CI 0.98-1.00) pada 1 Januari 2022 berbanding 0.88 (95% CI 0.87 – 0.89) pada 25 Disember 2021.

1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19

Pada ME ke-52 iaitu daripada 26 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022;

  • Peningkatan kes sebanyak 2.3 peratus dari 22,554 kes kepada 23,071berbanding ME ke-51. Peningkatan ini dilihat setelah penurunan kes dicatatkan sejak lima (5) minggu berturut-turut mulai ME ke-46.
  • Namun begitu, purata kes aktif mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus dengan purata 40,963 kes pada ME ke-52. Penurunan ini telah diperhatikan semenjak lima (5) minggu yang lalu.
  • Kes kematian menurun sebanyak 18.2 peratus dengan 198 kematian pada ME ke-52 berbanding 242 kematian pada ME ke-51. Penurunan ini dicatatkan pada ME ke-52 setelah sedikit peningkatan dilihat pada ME ke-51.
  • Purata kes yang memerlukan rawatan di Intensive Care Unit (ICU) menunjukkan penurunan sebanyak 18 peratus iaitu 277 kes (ME ke-50) kepada 226 kes (ME ke-52).
  • Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 30.2 peratus iaitu dari 125 kes (ME ke-50) ke 87 kes (ME ke-52).
  • Nilai Rt meningkat kepada 0.99 (95% CI 0.98 – 1.00) pada 1 Januari 2022 dan peningkatan ini dicatat semenjak 25 Disember 2021.

j2-1

Berdasarkan Jadual 1, penggunaan katil ICU menurun sebanyak 18.4 peratus manakala kes kematian juga menurun sebanyak 18.5 peratus. Penggunaan alat bantuan pernafasan juga dilihat menurun dengan mendadak iaitu sebanyak 30.4 peratus pada ME ke-52.

j3

Berdasarkan Rajah 1, penggunaan ICU untuk kes COVID-19 jelas mencatatkan penurunan berturut-turut mulai lapan (8) minggu yang lepas iaitu dari ME ke-45.

j4

Selain itu, tren penurunan penggunaan alat bantuan pernafasan untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat dengan ketara mulai 20 minggu lepas iaitu dari ME ke-33 berdasarkan Rajah 2.

2. Kluster

Pada ME ke-52, terdapat peningkatan kluster baharu sebanyak 33.3 peratus berbanding ME ke-51 manakala terdapat penurunan kepada kluster aktif iaitu 3.6 peratus berbanding ME ke-51. Selain itu, sebanyak 40 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-52. Peratusan kluster tamat ini menurun sebanyak 24.5 peratus berbanding ME ke-51 dan kluster baharu dilihat semakin meningkat sebanyak 8 kluster baharu (33.3 peratus) pada ME ke-52. Pecahan kluster baharu dapat dilihat pada jadual 2;

  • Lapan belas (18) kluster tempat kerja;
  • Lima (5) kluster komuniti;
  • Empat (4) kluster import;
  • Dua (2) kluster pusat pendidikan;
  • Satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi;
  • Satu (1) kluster aktiviti keagamaan; dan
  • Satu (1) kluster pusat tahanan.

j5

Berdasarkan Jadual 2, terdapat peningkatan yang ketara bagi kluster tempat kerja dan kluster import, manakalakategori kluster yang lain menunjukkan penurunan kecuali kluster komuniti dan pusat tahanan yang kekal statik pada ME ke-52. Peningkatan kluster tempat kerja ini menunjukkan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) masih lagi di tahap yang rendah. Hal ini tidak seharusnya berlaku memandangkan masyarakat di Malaysia sepatutnya telah cakna akan kepentingan SOP dalam memutuskan rantaian COVID-19. KKM ingin mengingatkan masyarakat bahawa pematuhan kepada SOP masih perlu diamalkan walaupun populasi Malaysia sudah mencapai 78.4 peratus lengkap divaksinasi supaya penularan COVID-19 dapat dikurangkan seiring dengan pembukaan semua sektor ekonomi dan peningkatan aktiviti sosial.

Berdasarkan data yang diperolehi Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), kes COVID-19 yang melibatkan varian Omicron telah dilaporkan dalam 110 negara sehingga 22 Disember 2021. Seperti yang semua sedia maklum, pada ME ke-51 dan ME ke-52, kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes berbanding Singapura (913 kes), Indonesia (8 kes), dan United Kingdom (49 kes). Oleh itu, KKM telah melaksanakan beberapa langkah bagi mengelakkan penularan COVID-19 dalam komuniti dan salah satu langkahnya telah berkuatkuasa mulai 3 Januari 2022.

Jemaah umrah yang baru tiba di Malaysia perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh pihak NADMA. Bagi pengembara yang datang dari negara yang lain, mereka boleh membuat permohonan untuk kuarantin di rumah melalui aplikasi Home Quarantine Application (HQA) iaitu https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/index. Setelah penilaian risiko dilakukan oleh pasukan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) dan HQA diluluskan, maka pengembara boleh menjalani kuarantin di rumah. Walaubagaimanapun, KKM ingin menegaskan bagi individu yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah supaya tidak menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga semasa dalam tempoh kuarantin. Ini bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 kepada pelawat dan seterusnya kepada komuniti.

j6

Rajah 3 menunjukkan penurunan kluster aktif yang dicatatkan selama 18 minggu berturut-turut (ME ke-34) dengan sedikit peningkatan jumlah kluster aktif pada ME ke-49. Jumlah kluster aktif pada ME ke-52 adalah sebanyak 215, menurun 3.6 peratus berbanding minggu lepas.

3. Kapasiti Hospital

Kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil bukan ICU, katil ICU, dan katil di PKRC didapati menurun pada ME ke-52. Penggunaan katil di PKRC mencatatkan penurunan sebanyak tiga (3) peratus, penggunaan katil bukan ICU di hospital menurun sebanyak satu (1) peratus, dan penggunaan katil ICU menurun sebanyak enam (6) peratus berbanding ME ke-51 seperti yang digambarkan pada Jadual 3.

j7

j8

Keberkesanan pemberian dos penggalak dalam menghindari gejala COVID-19 yang teruk dapat dilihat dengan jelas pada Rajah 4 yang menunjukkan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 (kategori 3 hingga 5) ke hospital awam di peringkat kebangsaan mencatatkan penurunan mulai ME ke-46 bagi golongan warga emas, selari dengan pelancaran program pemberian dos penggalak yang bermula pada 13 Oktober 2021 (ME ke-42). Situasi yang sama turut berlaku pada golongan dewasa yang mencatatkan penurunan kemasukan pesakit yang bergejala teruk ke hospital awam sejak ME ke-47 sehingga kini. Oleh itu, KKM ingin mengingatkan sekali lagi bagi individu yang berkelayakan namun masih belum mendapatkan vaksin COVID-19 atau dos penggalak supaya segera mendaftarkan diri agar diri dan keluarga dilindungi daripada kemudaratan virus berbahaya ini justeru dapat mengelakkan penularan virus COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post