Vaksin Sinovac dari China Selamat Tiba Di Malaysia - 27 Feb 2021
Pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang membawa bekalan vaksin Sinovac, dari China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, jam 8.47 pagi tadi.
Penerbangan menggunakan pesawat MH319 itu membawa vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal di Beijing, Sinovac Biotech untuk diuruskan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd melalui perjanjian di peringkat global.
Hadir menyambut ketibaan vaksin kedua di Malaysia itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Turut hadir, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang itu membawa 'envirotainer' mengandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter.
Vaksin COVID-19 Sinovac itu diangkut menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.
Sebaik pintu kargo pesawat dibuka, envirotainer iaitu bekas khas yang mengandungi vaksin jenis Sinovac dan berkemampuan mengekalkan suhu kandungan antara 2 ke 8 darjah Celsius itu dibawa turun menggunakan jumbo container pallet loader sebelum dipindahkan ke dolly dan dibawa ke kawasan i-Secure.
Ouyang kemudiannya menyerahkan satu kotak putih yang secara simboliknya mengandungi vaksin jenis Sinovac kepada Ismail Sabri.
Oleh
Luqman Arif Abdul Karim/ Berita Harian.
Gambar BERNAMA
Rujuk : FB KKM