7 Hari Putuskan Rantaian Jangkitan COVID-19
Kita hanya perlukan sekurang-kurangnya 7 hari untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Dalam tempoh 7 hari ini, kita perlu patuh SOP sepenuhnya seperti elak berhimpun di tempat ramai orang atau berada di tempat sempit atau bersembang dalam jarak dekat. Kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas 7 hari dijangkiti bermula dari hari pertama. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika kita perlu keluar rumah untuk bekerja atau urusan penting, pastikan mematuhi SOP sepenuhnya seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan amalkan penjarakan sosial.
"Perkara ini mudah tapi tidak ramai yang boleh patuh 100%. Yang paling penting ialah kepatuhan kepada SOP. Kalau semua boleh patuh kepada SOP, InsyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan dalam negara kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi kru FB LIVE KKM semalam.
Mengulas tentang petugas kesihatan yang kini mula keletihan, Dr Noor Hisham menasihatkan petugas kesihatan supaya bersabar dan terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
"Kalau bukan kita (petugas kesihatan) siapa lagi yang boleh diharapkan? Seluruh rakyat Malaysia hari ini mengharapkan kepada petugas kesihatan," katanya.
Sejak beberapa hari lalu, Dr Noor Hisham telah turun padang melawat Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Ketika dihubungi kru FB LIVE KKM, beliau dalam perjalanan pulang selepas melawat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. 'Saya turun padang untuk memberi semangat kepada mereka untuk terus berjuang di negeri masing-masing," jelas beliau.
Kem PLKN jadi penjara satelit
KKM bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menempatkan tahanan dalam penjara ke Kem PLKN dan Kem Wawasan yang diubah suai menjadi Penjara Sementara atau Penjara Satelit. Dr Noor Hisham berkata, tahanan yang telah disabitkan jenayah ringan akan dipindahkan ke Penjara Satelit yang dikawal oleh kakitangan Jabatan Penjara Malaysia, Imigresen, RELA dan pasukan keselamatan lain.
Langkah ini bagi mengawal dan mengurangkan kes-kes jangkitan COVID-19 dalam penjara, Depoh Tahanan Imigresen dan Depoh Tahanan Sementara terutama di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur, katanya.
Disediakan team admin FB KKM
Rujuk : FB KKM