COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) KE-49

Sehingga 11 Disember 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-49], sebanyak 2,688,149 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 60,778 kes aktif dan 30,862 kes kumulatif kematian. Penurunan nilai Rt/Ro Malaysia mulai 6 Disember didapati selari dengan penurunan semua indikator utama jangkitan COVID-19 pada ME ke-49. Dari segi kewujudan kluster baharu pula, semua kategori kluster menunjukkan peningkatan kecuali kluster aktiviti keagamaan, pusat tahanan dan import.

1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19

Pada ME ke-49 iaitu daripada 5 Disember 2021 sehingga 11 Disember 2021;

  • Penurunan kes baharu COVID-19 sebanyak 3.5 peratus iaitu daripada 34,897 kes (ME ke-48) kepada 33,675 kes (ME ke-49). Tren penurunan kes ini dicatatkan sejak tiga (3) minggu lepas mulai ME ke-46.
  • Purata kes aktif COVID-19 turut mencatatkan penurunan sebanyak lima (5) peratus dengan purata 59,601 kes pada ME ke-49. Penurunan ini telah diperhatikan semenjak dua (2) minggu yang lalu.
  • Kes kematian disebabkan COVID-19 kekal konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 2 peratus dengan 288 kematian pada ME ke-49 berbanding 294 kematian pada ME ke-48. Penurunan ini dicatatkan mulai ME ke-43, iaitu enam (6) minggu yang lalu.
  • Purata kes COVID-19 yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 8 peratus iaitu 386 kes (ME ke-48) kepada 356 kes (ME ke-49).
  • Purata kes COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 2.5 peratus iaitu dari 163 kes (ME ke-48) ke 158 kes (ME ke-49).

Nilai Rt menurun sebanyak 0.3 peratus kepada 0.97 (95% CI 0.96 – 0.98) dan penurunan ini dicatat semenjak 6 Disember 2021.

d1

d2

d3

Selain itu, tren penurunan penggunaan Alat Bantuan Pernafasan untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat dengan ketara mulai 17 minggu lepas iaitu ME ke-32 berdasarkan Rajah 2. Penurunan kedua-dua indikator ini selari dengan peningkatan liputan vaksinasi seluruh negara yang kini telah mencatat 78.1% populasi lengkap divaksinasi (setakat 12 Disember 2021, 11:59 malam).

2. Kluster

Sehingga 11 Disember 2021, terdapat kumulatif 6,035 kluster telah dilaporkan dan 250 kluster aktif (peningkatan sebanyak 10.1 peratus berbanding ME ke-48). Selain itu, sebanyak 43 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-49, lalu menjadikan penurunan sebanyak 10.4 peratus berbanding ME ke-48. Sebanyak 66 kluster telah dilaporkan pada ME ke-49 yang terdiri daripada (Jadual 2);

  • 37 kluster tempat kerja;
  • 20 kluster pusat pendidikan;
  • Empat (4) kluster komuniti;
  • Empat (4) kluster kumpulan berisiko tinggi; dan
  • Satu (1) kluster aktiviti keagamaan.

d4

Berdasarkan Jadual 2, terdapat peningkatan semula semua kategori kluster kecuali aktiviti keagamaan, pusat tahanan, dan import selari dengan pembukaan semua sektor ekonomi, pergerakan rentas negeri, dan peningkatan aktiviti sosial pada PPN Fasa 4. Walaupun indikator utama jangkitan semakin menunjukkan penurunan kebelakangan ini, pematuhan SOP dalam apa jua keadaan masih lagi memainkan peranan penting dalam memastikan jangkitan COVID-19 dapat dikawal.

Memandangkan musim cuti akan bermula tidak lama lagi, lebih banyak pergerakan rentas negeri dan aktiviti sosial dijangka akan berlaku. Oleh itu, besar harapan KKM agar Keluarga Malaysia dapat memainkan peranan masing-masing dalam mematuhi SOP dan memperkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) agar diri kita, keluarga kita dan masyarakat di sekeliling kita dapat dilindungi dari penularan COVID-19.

d5

Setelah mengalami penurunan berturut-turut selama 13 minggu (ME ke-32), jumlah kluster aktif pada ME ke-49 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus dengan 250 kluster aktif. Pada masa yang sama, jumlah kluster yang tamat juga semakin menurun sebanyak 10.4 peratus. Ini bererti, penularan jangkitan COVID-19 yang disebabkan oleh ketidakpatuhan SOP dalam sesebuah kluster masih lagi giat berlaku walaupun kluster tersebut telah diumumkan. Sekiranya semua SOP dipatuhi, jumlah kontak rapat yang terlibat dapat dikurangkan dan penularan tersebut dapat dikawal.

Oleh yang demikian, KKM ingin mengingatkan semula bahawa pengambilan vaksin tidak bermakna pematuhan SOP tidak diperlukan lagi. Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan masih lagi penting dalam menghindari jangkitan COVID-19. Elakkan tempat yang sesak kerana penjarakan fizikal juga perlu dijaga. KKM berharap agar Keluarga Malaysia mampu terus patuh pada SOP yang sudah ditetapkan untuk mengelakkan peningkatan kluster secara berterusan.

Bagi yang belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. Nasihat KKM, segeralah mendaftar dan dapatkan vaksin COVID-19 agar anda dan keluarga dilindungi daripada virus merbahaya ini.

3. Kapasiti Hospital

Kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil bukan ICU dan katil ICU didapati menurun pada ME ke-49. Penggunaan katil bukan ICU di hospital telah mencatatkan penurunan dua (2) peratus manakala penggunaan katil ICU menurun sebanyak enam (6) peratus berbanding ME ke-49 seperti yang digambarkan pada Jadual 3. Namun begitu, penggunaan katil di PKRC telah meningkat sebanyak satu (1) peratus pada ME ke-49.

d6

Walaupun kebanyakan Keluarga Malaysia telah lengkap divaksinasi mulai pertengahan tahun lalu, kajian terbaru mendapati keberkesanan vaksin akan menurun selepas beberapa bulan. Oleh yang demikian, KKM menggesa individu yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin COVID-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut. Sentiasa semak MySejahtera untuk mengetahui tarikh vaksinasi dos penggalak.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post