ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA [MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) KE-47
Sehingga 27 November 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-47], sebanyak 2,619,577 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 65,978 kes aktif dan 30,280 kes kumulatif kematian. Penurunan nilai Rt/Ro Malaysia mulai minggu lepas telah mendatangkan kesan positif kepada kebanyakan indikator utama jangkitan COVID-19 yang kini menunjukkan tren penurunan berbanding ME ke-46. Namun begitu, tren peningkatan kewujudan kluster baharu pada ME ke-47 dalam semua kategori kecuali tempat kerja dan import adalah amat membimbangkan.
1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19
Pada ME ke-47 iaitu daripada 20 November 2021 sehingga 27 November 2021;
- Penurunan kes baharu secara kumulatif bagi minggu epidemiologi sebanyak 6.8 peratus iaitu daripada 40,600 kes (ME ke-46) kepada 37,830 kes (ME ke-47);
- Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 12.4 peratus dengan 304 kematian berbanding 347 kematian pada ME ke-46;
- Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 5 peratus iaitu 452 kes (ME ke-46) kepada 431 kes (ME ke-47);
- Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan (6 peratus) dari 179 kes (ME ke-46) ke 169 kes (ME ke-47);
- Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU dan kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan mulai menunjukkan tren penurunan mulai ME ke-45; dan
Nilai Rt kian menurun kepada 0.96 (95% CI 0.95 – 0.97) dan penurunan ini dicatat semenjak 15 November 2021.


Tren penurunan nilai Rt/Ro ini dijangka akan terus memberi impak positif dalam memastikan Malaysia bergerak ke arah fasa hidup dengan virus dan seterusnya fasa endemik sekiranya rakyat Malaysia memberi sepenuh kerjasama dalam mematuhi SOP yang sedia ada dan hadir pada temu janji suntikan dos penggalak jika telah layak.
2. Kluster
Sehingga 27 November 2021, terdapat kumulatif 5,928 kluster telah dilaporkan dan hanya 234 kluster masih lagi aktif (penurunan sebanyak 2.5 peratus berbanding ME ke-46). Selain itu, sebanyak 56 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-47, lalu menjadikan penurunan sebanyak 26.3 peratus berbanding ME ke-46. Sebanyak 50 kluster telah dilaporkan pada ME ke-47 yang terdiri daripada (Jadual 2);
- 22 (44.0 peratus) kluster tempat kerja;
- Enam (6) (12.0 peratus) kluster komuniti;
- Enam (6) (12.0 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi;
- Enam (6) (12.0 peratus) kluster pusat pendidikan;
- Dua (2) (4.0 peratus) kluster aktiviti keagamaan; dan
- Satu (1) (2.0 peratus) kluster pusat tahanan.

Peningkatan semua jenis kategori kluster kecuali import dan tempat kerja ini adalah amat membimbangkan kerana ini menunjukkan peningkatan aktiviti sosial di semua peringkat tetapi pematuhan SOP sudah mulai dipandang ringan. Hal ini terbukti apabila data menunjukkan terdapat peningkatan tawaran kompaun bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka sebanyak 8.9 peratus. Walaupun kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal mulai berkurang (penurunan 73.7 peratus), namun pemakaian pelitup muka dengan betul haruslah diberi penekanan. Ini adalah amat penting bagi memastikan perebakan melalui udara dapat dikurangkan.
Bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam kalangan orang yang disayangi, disiplin yang tinggi daripada setiap individu adalah sangat diperlukan terutamanya bagi isi rumah yang mempunyai golongan berisiko tinggi seperti warga tua dan individu yang mempunyai penyakit kronik. Sentiasa patuh kepada SOP dan perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang di sekeliling kita daripada risiko jangkitan.
3. Kapasiti Hospital
Kadar penggunaan fasiliti kesihatan (Katil Bukan ICU dan Katil PKRC) didapati menurun pada ME ke-47. Penggunaan katil bukan ICU di hospital telah mencatat penurunan sebanyak satu (1) peratus manakala penggunaan katil di PKRC menurun sebanyak tiga (3) peratus berbanding ME ke-46 (Jadual 3). Peningkatan ini adalah selari dengan kenaikan purata kes aktif bagi ME ke-47.

Dari segi jumlah kemasukan pesakit COVID-19 Kategori 3-5 ke hospital awam, negeri Sarawak telah mencatatkan penurunan yang konsisten dan paling ketara sejak pelancaran program pemberian dos penggalak pada 13 Oktober 2021 berbanding negeri-negeri lain. Berdasarkan data yang dikeluarkan JKJAV setakat 28 November 2021, Sarawak juga adalah negeri yang mempunyai jumlah kumulatif dos penggalak paling tinggi di Malaysia dengan 630,251 dos diikuti oleh Selangor (411,126 dos) dan Kuala Lumpur (236,024 dos).

4. Aktiviti Penguatkuasaan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)
Aktiviti penguatkuasaan merupakan salah satu aktiviti yang dilaksanakan oleh KKM dalam mengawal penyakit COVID-19 dari terus menular dalam masyarakat setempat. Pada ME ke-47, jumlah pengeluaran kompaun kepada pertubuhan/ perbadanan dan penutupan premis menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya, manakala kompaun terhadap individu menunjukkan pengurangan sebanyak 43.6% berbanding minggu sebelumnya. Kegagalan memakai topeng muka telah mencatatkan peningkatan walaupun kesalahan lain telah menunjukkan penurunan. Fenomena “keletihan pandemik” yang terjadi dari segi kegagalan memakai topeng muka dilihat kian kerap berlaku namun kesedaran orang ramai terhadap pematuhan SOP yang lain seperti penjarakan fizikal dapat membantu mengurangkan risiko pencegahan COVID-19 dalam komuniti.
Berikut merupakan aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan dalam ME ke 47 (21 November 2021 sehingga 27 November 2021) seperti yang digambarkan dalam Jadual 4,5 dan 6;
- 194 kompaun (pengurangan 43.6 peratus) telah dikeluarkan terhadap individu berbanding 344 kompaun minggu sebelumnya;
- 34 kompaun (peningkatan 17.2 peratus) dikeluarkan kepada pertubuhan perbadanan; dan
- 68 (peningkatan 3.0 peratus) penutupan premis telah diarahkan berbanding 66 penutupan minggu sebelumnya.


Rujuk : KPKESIHATAN.COM