COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA [MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) KE-43]

Sehingga 30 Oktober 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-43], sebanyak 2,466,663 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 28,876 kes kematian. Kebanyakan indikator utama menunjukkan tren penurunan. Walau bagaimanapun, kadar kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 5.2 peratus berbanding minggu epidemiologi sebelumnya (ME ke-42).

1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19

Pada ME ke-43 iaitu daripada 24 Oktober 2021 sehingga 30 Oktober 2021;

  • Kes baharu COVID-19 menunjukkan penurunan sebanyak 2.2 peratus iaitu daripada 41,508 kes (ME ke-42) kepada 40,613 kes (ME ke-43);
  • Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Melaka melaporkan kadar insiden kes tertinggi bagi setiap 10,000 penduduk;
  • Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 15.0 peratus iaitu daripada 83,605 kes (ME ke-42) kepada kes 70,829 kes (ME ke-43). Penurunan kes aktif ini dilihat sejak lapan (8) minggu lepas;
  • Kes kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 5.2 peratus iaitu daripada 496 kes (ME ke-42) kepada 522 kes (ME ke-43). Kadar kematian kes semasa adalah sebanyak 1.1 peratus dan kadar kematian keseluruhan adalah 1.2 peratus. Sarawak, Perlis, dan Pulau Pinang mencatatkan insiden kes kematian tertinggi bagi setiap 1 juta populasi;
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan penurunan 12.0 peratus iaitu 571 kes (ME ke-42) kepada 505 kes (ME ke-43);
  • Kes yang memerlukan bantuan pernafasan menunjukkan penurunan 14.4 peratus iaitu 250 kes (ME ke-42) kepada 214 kes (ME ke-43). Penurunan kes yang memerlukan bantuan pernafasan dilihat sejak 11 minggu lepas; dan
  • Pada 30 Oktober 2021, nilai Rt Malaysia adalah 0.96 (95% CI 0.95 – 0.97). Nilai ini telah mula menunjukkan peningkatan semula sejak 23 Oktober 2021. Nilai Rt melebihi 1 menunjukkan potensi berlakunya rantaian penularan jangkitan COVID-19 seperti yang dilihat pada permulaan gelombang ketiga.

j1

2. Kluster

Sebanyak 46 kluster yang dilaporkan pada ME ke-43 yang terdiri daripada (Jadual 2);

  • Dua puluh lima (25) (54.3 peratus) kluster tempat kerja;
  • Sembilan (9) (19.6 peratus) kluster pusat pendidikan;
  • Tujuh (7) (15.2 peratus) kluster komuniti; dan
  • Lima (5) (10.9 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi.

j2

Terdapat peningkatan kluster institusi pendidikan susulan pembukaan semula institusi-institusi pengajian tinggi secara bersemuka bermula ME-41.

3. Vaksinasi

KKM juga ingin memaklumkan bahawa sehingga 30 Oktober 2021, sejumlah 25,299,759 individu telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19. Sebanyak 74.9 peratus daripada keseluruhan penduduk telah menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap [95.5 peratus daripada populasi dewasa dan 66.4 peratus daripada populasi remaja (12-17 tahun)]. Pada 24 September 2021, Malaysia telah mencapai sasaran awal program vaksinasi remaja di mana sebanyak 60 peratus remaja telah mendapat vaksinasi lengkap.

4. Kapasiti Hospital

KKM telah memperuntukkan 26,522 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), 14,963 buah katil wad biasa, 1,345 katil wad ICU, dan 2,804 alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit COVID-19, kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan. Penggunaan katil di PKRC dan katil di wad biasa dan Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan tren penurunan sekitar 2 hingga 6 peratus pada ME ke-43 berbanding ME ke-42 seperti pada Jadual 3.

j3

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post