'Walk-in Berjadual' untuk elak risiko jangkitan COVID-19 di PPV
Kaedah pemberian vaksin secara walk-in berjadual kepada remaja 12 -17 tahun akan bermula esok, 23 September.
Sebanyak 156 PPV iaitu 142 PPV awam dan 14 PPV integrasi seluruh negara akan menerima kehadiran remaja-remaja ini untuk suntikan vaksin.
Kaedah vaksinasi secara walk-in berjadual bukan bermaksud remaja bebas memilih untuk pergi ke mana-mana PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Timbalan Menteri Kesihatan I, YB Dato' Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kaedah walk-in berjadual ini dilaksanakan dengan cara pihak sekolah selepas perbincangan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), menetapkan tarikh dan masa tertentu untuk seseorang pelajar pergi ke PPV yang terdekat dengan lokasi sekolah.
Pihak sekolah akan mengeluarkan jadual untuk memudahkan ibu bapa atau penjaga membawa remaja berkenaan 'walk-in mengikut masa, tarikh dan PPV yang telah ditetapkan.
"Sistem giliran ini bagi mengelak kesesakan di PPV dan risiko penularan jangkitan COVID-19," katanya dalam program Bicara Naratif di TV1, malam tadi.
Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Remaja (CITF-A) membuat penjelasan itu bagi mengelak sebarang kekeliruan.
CITF-A mensasarkan untuk memberi vaksin lengkap kepada semua 3.2 juta remaja dalam tempoh 3 bulan ini atau sekurang-kurangnya 80% sebelum sesi persekolahan 2022 dibuka.
Kaedah walk-in berjadual ini antara usaha meningkatkan kapasiti pemberian vaksin.
Kaedah utama pemberian vaksin di bawah PICK-Remaja ialah melalui program jangkau luar di sekolah dan institusi secara berjadual dengan penglibatan KKM, pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan.
"Kami juga akan mengadakan program jangkau luar untuk remaja terlantar di rumah dan remaja di kawasan-kawasan pendalaman," katanya.
Rujuk : FB KKM