COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KKM Tubuhkan CITF-A Kendalikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja - YB Khairy Jamaluddin

YB Khairy Jamaluddin Menteri Kesihatan hari ini mengumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) untuk menjalankan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

CITF-A dipengerusikan oleh YB Dato' Dr Haji Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 1.

Sebentar tadi, YB Khairy hadir ke program "Kick-Off) PICK Remaja yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) - SMK Putrajaya Presint 8(1).
Dalam sidang media, YB Khairy berkata PICK Remaja sudah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 September dan di Wilayah Persekutuan Labuan pada 11 September lepas.
"CITF telah memberikan kelulusan untuk pelaksanaan program berkenaan di kedua-dua negeri kerana liputan imunisasi COVID-19 dalam kalangan orang dewasa di kedua-dua negeri berkenaan telah mencapai 80 peratus.

"PICK Remaja di Sabah pula telah bermula pada 16 September lepas kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar," katanya.

YB Khairy menyatakan bahawa KKM mensasarkan supaya 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya 1 dos vaksin pada bulan November ini dan 80 peratus daripada mereka yang layak divaksin mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Turut hadir pada program hari ini ialah YB Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, YB Dato' Dr Haji Noor Azmi, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato' Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia dan Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan.

YB Timbalan Menteri Kesihatan 1 juga memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada seorang remaja yang menerima suntikan pada hari ini.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post