COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Kenyataan Akhbar KPK 21 September 2021 - Isu Keselamatan dan Keberkesanan Nano Mist Spray Sebagai Alat Disinfeksi

/ NANO MIST SPRAY

ISU KESELAMATAN DAN KEBERKESANAN NANO MIST SPRAY SEBAGAI ALAT DISINFEKSI

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat isu yang dibangkitkan berkaitan keselamatan dan keberkesanan penggunaan nano mist spray sebagai alat disinfeksi.

Nano mist spray adalah alat penyembur yang boleh menghasilkan titisan halus bersaiz nano. Alat ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan. Alat ini terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti spray gun, handheld spray sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.

Mutakhir ini, nano mist spray mula mendapat perhatian umum untuk digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan COVID-19. Ramai beranggapan penggunaan alat ini berupaya menghapuskan virus di udara (airborne) dan juga di permukaan. Walau bagaimanapun, keberkesanan penggunaan nano mist spray untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut untuk menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan, serta tempoh masa pendedahan.

Secara umumnya pada masa ini, beberapa larutan disinfeksi sedia ada seperti larutan yang mengandungi alkohol 70%-90%, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia, dan juga larutan berasaskan klorin berkesan bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan. Senarai larutan disinfeksi yang berkesan untuk SARS-CoV-2 boleh diperolehi di laman sesawang US Environmental Protection Agency https://www.epa.gov/coronavirus/about-list-n-disinfectants-coronavirus-covid-19-0 yang menjadi rujukan seluruh dunia.

Ingin dijelaskan, larutan disinfeksi yang dinyatakan ini adalah bertujuan untuk nyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia. Ini adalah kerana, sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan.

KKM ingin menegaskan, penyemburan disinfeksi melalui nano mist tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual.

Untuk makluman, pada masa ini pihak KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan garis panduan untuk pendaftaran disinfektan permukaan yang boleh dicapai melalui https://www.npra.gov.my/images/Guidelines_Central/surface_disinfectant/Revision_1_Guideline_for_Registration_of_Surface_Disinfectant.pdf. Garispanduan ini turut menerangkan keperluan pelabelan disinfektan.

Selain daripada itu, laporan penilaian ke atas pelbagai kaedah disinfeksi untuk mencegah penularan COVID-19 boleh dicapai melalui https://covid-19.moh.gov.my/kajian-dan-penyelidikan/mahtas-covid-19-rapid-evidence-updates.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
21 September 2021

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post