Portal Home Quarantine Application (HQA)
Portal khas untuk pengembara dari luar negara memohon kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman telah mula diaktifkan bermula pagi ini.
Portal Home Quarantine Application (HQA) yang dibangunkan CPRC Kebangsaan KKM ini akan menguruskan setiap permohonan dengan lebih baik, kata Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan akhbar sempena pelaksanaan portal HQA.
Kelonggaran untuk pengembara dari luar negara yang lengkap vaksinasi untuk kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Ogos lalu.
Susulan pengumuman itu, permohonan yang diterima CPRC menerusi emel meningkat dengan mendadak dan melebihi kapasiti.
Bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku, CPRC telah membangunkan permohonan secara online dan dipertingkatkan lagi dengan sistem lebih mantap iaitu portal HQA.
Menurut Khairy, modul portal HQA ini sebahagian daripada modul dalam sistem e-COVID19 yang mengurus perincian pesakit COVID19 dan berintegrasi dengan aplikasi SIMKA, e-Notifikasi dan MySejahtera.
Pengembara perlu memohon sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tiba di Malaysia dan setiap permohonan dengan dokumen lengkap akan disemak oleh Home Surveillance Order Committee (HSOC).
"Melalui sistem HQA ini, pegawai pemantau boleh mendapatkan semula maklumat tempat atau lokasi kuarantin untuk pemantauan pematuhan arahan kuarantin," jelas Khairy.
Tiada perubahan pada syarat-syarat permohonan untuk kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.
Khairy mengingatkan pengembara yang mendapat kelulusan kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman supaya mematuhi sepenuhnya Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.
"Kegagalan mematuhi perintah ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkif 1988 [Akta 342]," tegas beliau.

Rujuk : FB KKM