Tambah ambulans, stok ubat, penyumberluaran hospital
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang memuktamadkan perolehan sejumlah 490 ambulans bagi mengangkut pesakit Covid-19 ekoran aliran wabak semakin melonjak ketika ini.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Mohd. Shafiq Abdullah berkata, pembekalan secara tender terbuka itu dijangka menampung permintaan tinggi ambulans di sekitar Lembah Klang.
“Kami juga giat mengubah suai banyak van jabatan dengan dibekalkan peralatan perubatan minimum seperti silinder oksigen bagi bawa pesakit wabak ini segera ke hospital,” katanya dalam sidang akhbar khas kementerian tersebut di sini hari ini yang turut disertai Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan para pegawai kanannya.
Langkah kecemasan itu ujarnya, diharap dapat membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa dan turut mengurangkan kadar kematian pesakit ketika dalam perjalanan.
Pada masa yang sama, kementerian juga melaksanakan aktiviti penyumberluaran 25 ambulans daripada pihak swasta selain penyewaan 100 buah lagi untuk tempoh sehingga setahun.
Bagi mempercepatkan pemerolehan ubat, pihak kementerian mengurangkan kerenah birokrasi dengan menurunkan kuasa kepada Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi menerusi pelaksanaan secara darurat berkaitan isu perolehan berkenaan melalui sebut harga sehingga RM500,000 berikutan keadaan kritikal selain memohon peruntukan tambahan RM50 juta.
Tiga jenis ubat kata Mohd. Shafiq, dikenal pasti khusus bagi perawatan Covid-19 di samping kementeriannya sudah meluluskan pembelian 12,873 kota ubat Baricitinib bernilai RM39 juta.
Penyumberluaran perkhidmatan juga ditingkatkan dengan pemindahan ribuan pesakit bukan Covid-19 dari sembilan hospital kementerian itu di Lembah Klang ke sejumlah hospital swasta yang telah pun dibuat secara bersasar sejak 5 Julai lalu.
Tindakan ini berjaya mengurangkan masa menunggu rawatan dan menambah had kapasiti katil pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5.
“Kementerian turut mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan bagi membolehkan hospital pengajar universiti boleh dibuat penyumberluaran pesakit bukan Covid-19,” tambahnya.
Setakat ini, katanya, 40 hospital kerajaan dan 76 hospital swasta di seluruh negara terlibat dengan unjuran seramai 15,000 pesakit bukan Covid-19 bakal dipindah hingga akhir tahun.
Menyentuh kekurangan pekerja, Mohd. Shafiq berkata, 300 pelatih institut latihan kementerian itu yang telah divaksin sudah dimobilisasi di fasiliti saringan dan pusat pemberian vaksinasi.
Jabatan Perkhidmatan Awam juga akan memobilisasi 1,000 petugas bagi membantu Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negara dan buat buat permulaan 419 staf sudah ditempatkan.
“Penambahan dibuat berperingkat, malah, 220 tenaga pengajar dari institut latihan kementerian ini juga dimobilisasi ke pelbagai pusat saringan dan vaksinasi di Lembah Klang,” katanya.
Tidak ketinggalan, 2,542 petugas kementerian itu dari negeri lain di samping 9,822 petugas kontrak ditempatkan yang membuktikan komitmen pantas kerajaan menangani isu berkenaan. -UTUSAN ONLINE
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA