Malaysia bantu WHO kaji 3 ubat COVID-19
PUTRAJAYA: Malaysia berharap data negara ini dapat membantu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjalankan kajian terhadap tiga jenis ubat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia satu daripada 52 negara yang terpilih oleh WHO untuk menjalankan kajian terhadap ubat jenis artesunate, imatinib dan infliximab.
"Sebanyak 600 hospital dari 52 negara terpilih dalam Kajian Solidariti Tambahan ini untuk menjalankan kajian terhadap tiga ubat berkenaan dan Malaysia mempunyai pesakit COVID-19 yang mencukupi untuk dijalankan kajian.
"Ubat artesunate digunakan bagi rawatan malaria yang kritikal. Imatinib pula ubat untuk kanser darah atau leukimia. Infliximab merawat penyakit sistem imun seperti Crohn dan rheumatoid arthritis," katanya dalam sidang media khas hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, tiga ubat berkenaan mempunyai kesan antiviral dan disebabkan itu, perlu dikaji keberkesanannya sebelum dapat digunakan bagi membendung penularan COVID-19.
"Kalau dah laksanakan kajian, barulah kita tahu sama ada ia berkesan atau tidak.
"Kajian ini dilakukan secara besar besaran membabitkan 52 negara dan data yang akan diperoleh nanti lebih menyakinkan dan lebih kukuh," katanya.
Sebelum ini, WHO menjalankan ujian antarabangsa terhadap tiga jenis ubat untuk menentukan sama ada boleh digunakan merawat pesakit COVID-19 di hospital.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pihaknya memerlukan lebih banyak kajian bagi menghalang dan merawat individu yang dijangkiti virus COVID-19 daripada semua tahap kategori bergejala ringan hingga yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Beliau berkata, ubat bekenaan dipilih oleh panel pakar bebas bagi melihat potensinya mengurang risiko kematian pesakit COVID-19 yang dimasukkan di hospital dan keputusan akhir ujian berkenaan dijangka diketahui bulan depan.
Sebelum ini, empat ubat dinilai dalam ujian solidariti itu yang membabitkan hampir 13,000 pesakit di 500 hospital di 30 negara.
Keputusan kajian yang diperoleh Oktober lalu itu menunjukkan, ubat remdesivir, hydroxychloroquine, lopinavir dan interferon hanya mempunyai sedikit atau tiada langsung kesan terhadap pesakit yang dirawat dengan COVID-19.
SUMBER : BERITA HARIAN