KERJASAMA ATM DAN KKM WUJUD GREATER KLANG VALLEY SPECIAL TASK FORCE
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2021 - Pasukan Bertindak Khas atau juga dikenali sebagai Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF) telah diwujudkan bagi melaksanakan pelan tindakan yang lebih efektif, cepat dan menyeluruh ke atas sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada bagi mengurangkan kadar kematian akibat kelewatan mendapat rawatan di hospital.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, ia akan bertindak untuk melaksanakan mandat yang diberikan di kawasan Lembah Klang termasuk utara Negeri Sembilan, barat Pahang dan selatan Perak.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, GKV STF ini akan diterajui bersama oleh KKM dan ATM di mana pelantikan secara rasmi oleh KKM ke atas pegawai-pegawai yang terlibat telah dibuat pada 18 Jul 2021 lalu.
“Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh dilantik untuk mengetuai Kumpulan Pengurusan Strategik manakala Brigedier Jeneral (Dr) Mohd Arshil bin Moideen di lantik sebagai Komander Bersama Joint Task Force di peringkat operasi. Pasukan ini akan di anggotai seramai 12 pegawai yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan perubatan, logistik perubatan dan pentadbiran di bawah Perkhidmatan Kesihatan ATM serta lima (5) pegawai dari Bahagian Logistik Pertahanan ATM.
“Seramai 1,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu hal-hal berkaitan logistik di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0. Sejumlah 750 daripada mereka akan membantu perkara-perkara yang berkaitan dengan oksigen dan selebihnya urusan logistik.
Tambah beliau, anggota ATM turut digerakkan bagi membantu petugas kesihatan di hospital sekitar Lembah Klang antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kajang dan Hospital Serdang.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 semalam. ATM melalui PKAT turut sama merancang langkah strategik bagi mengoptimumkan tindakan pengesanan kes, perkhidmatan perawatan, sokongan logistik perubatan dan am, perkhidmatan sokongan kepada komuniti, petugas kesihatan dan barisan hadapan.
Inisiatif utama yang giat dilaksanakan ketika ini adalah meningkatkan kapasiti katil, penjagaan ICU, bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja, pemindahan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta, pengurusan logistik dan bantuan anggota dari ATM serta sukarelawan.
PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang kini beroperasi di tujuh (7) buah dewan boleh menampung sehingga hampir 4000 pesakit pada satu-satu masa dan sehingga kini.
Dalam tempoh dua minggu gerak kerja GKV STF ini, ATM telah membantu menghantar sebanyak 548 katil pesakit ke lima buah hospital di Lembah Klang serta 90 unit Oxygen Concentrator ke Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.

Sumber : FB Kementerian Pertahanan Malaysia