COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PENINGKATAN KES JANGKITAN COVID-19 YANG TERUK (SEVERE COVID-19 INFECTION) DALAM KALANGAN IBU HAMIL DI MALAYSIA

/ Panduan Ibu Hamil

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ibu hamil, mengambilkira golongan ini adalah kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan teruk, selain individu yang mempunyai komorbid dan warga emas. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ibu hamil lebih berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk dan memerlukan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) serta bantuan pernafasan (invasive ventilation) berbanding wanita yang tidak hamil. Jangkitan COVID-19 tahap yang lebih teruk kerap berlaku pada trimester kedua dan ketiga.

Sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 3,396 kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia. Dianggarkan hampir 1% ibu hamil di Malaysia dijangkiti COVID-19. Jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (sebanyak 850 kes) dan Jun 2021 (sebanyak 899 kes). Tren peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan ibu hamil adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia secara keseluruhan (Rujuk Graf 1).

Peratus ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari 3% pada 10 Julai 2021 kepada 5.3% pada 7 Ogos 2021. Analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti COVID-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit COVID-19 kritikal ialah 1 dalam 20. Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu 1 dalam 220.

Sehingga 9 Ogos 2021, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan COVID-19 telah dilaporkan berbanding tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan pada tahun 2020. Bagi tahun 2021, purata kes COVID-19 bagi bulan Januari 2021 sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak 2 kes pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian. Data menunjukkan 2 kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin, manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin COVID-19. Berdasarkan maklumat sediada, sebanyak 47% dari kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid.

Sehingga 8 Ogos 2021, seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin COVID-19, sejak kempen ibunisasi dimulakan pada akhir Jun 2021. Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Sebanyak 20 peratus ibu hamil telah lengkap menerima 2 dos vaksin. Berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.

Graf 1 : Bilangan Dan Kematian COVID-19 Dalam Kalangan Ibu Hamil/Postnatal Daripada Mac 2020 Sehingga Jun 2021

11821-1

11821-2

Memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. KKM menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19. Para suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin COVID-19. Pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga. Ibu hamil yang masih belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu.

Selain itu, langkah-langkah pencegahan seperti berikut mesti diambil oleh ibu hamil dan ahli keluarga;

  1. Kekal berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja;
  2. Amalkan norma baharu serta mematuhi standard operating procedure (SOP) dalam mencegah jangkitan COVID-19;
  3. Ahli keluarga perlu diingatkan untuk tidak menjadi punca jangkitan kepada ibu hamil dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah;
  4. Jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin;
  5. Sekiranya telah disahkan positif COVID-19, semua ibu hamil, termasuklah yang tidak bergejala, mesti hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) untuk menjalani penilaian oleh doktor. Ikut nasihat doktor jika perlu dipantau di fasiliti kesihatan;
  6. Sekiranya ibu hamil berada di rumah dan gejala bertambah teruk, ibu perlu segera ke klinik atau CAC berdekatan; dan
  7. Jika berlaku kecemasan, boleh hubungi talian 999 atau segera ke hospital berdekatan. Ibu hamil atau ahli keluarga boleh juga menekan butang SOS di aplikasi MySejahtera jika bantuan segera diperlukan.

Akhir sekali, KKM menyeru sekali lagi agar semua ibu hamil untuk berdaftar dalam MySejahtera dan mengambil vaksin COVID-19 kerana pengambilan vaksin adalah satu kaedah yang terbukti berkesan dan selamat untuk mencegah ibu hamil dari mendapat jangkitan yang teruk.

Perincian bilangan ibu hamil/postnatal yang dijangkiti COVID-19, bilangan kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19, serta liputan vaksin COVID-19 dalam kalangan ibu hamil adalah seperti di Lampiran 7 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post