COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

COVID-19 Pantas Merebak di Serata Dunia

PARIS: Pandemik COVID-19 terus merekodkan peningkatan di hampir di semua pelusuk dunia kecuali di Amerika Latin dan dan Caribbean dengan lonjakan ketara dicatatkan di hampir separuh Amerika Utara.

Berdasarkan data diperoleh AFP, perebakan pantas coronavirus direkodkan hampir di seluruh negara khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang menyaksikan peningkatan 44 peratus kes harian sejak minggu lalu.

Selain itu, kes juga dikesan meningkat 20 peratus di Oceania, 11 peratus di Timur Tengah, enam peratus di Asia, tiga peratus di Eropah dan satu peratus di Afrika.
Hanya Amerika Latin dan Caribbean merekodkan penurunan 13 peratus minggu lalu. Berdasarkan kiraan AFP hingga Khamis lalu, jumlah kes harian global COVID-19 meningkat sebanyak enam peratus iaitu kepada 612,000 kes.

COVID-19 terus merekodkan peningkatan sejak pertengahan Jun disebabkan oleh varian yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi iaitu Delta, yang kini berleluasa di banyak negara.
Jumlah yang direkodkan itu hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada bilangan sebenar kes berikutan setiap negara mempunyai kaedah pengiraan dan ujian berbeza.
Bagi negara lain, Israel menyaksikan peningkatan 101 peratus kes harian iaitu lonjakan paling tinggi meskipun negara itu merekodkan paling banyak kadar vaksinasi di dunia dan mula memberikan suntikan ketiga sebagai penggalak.

Sebelum ini, kes COVID-19 di Israel menurun di bawah 10 kes bagi setiap 100,000 penduduk, namun kini meningkat kepada 243 kes.

Tuan rumah Olimpik, Jepun berada di kedudukan kedua dengan peningkatan 97 peratus kes harian COVID-19, diikuti Turki dengan peningkatan 56 peratus, Pakistan (54 peratus) dan Maghribi (49 peratus).

Sementara itu, Zimbabwe pula merekodkan penurunan paling ketara kes harian dengan 46 peratus, diikuti Belanda (44 peratus), Brazil (28 peratus), Rwanda 27 peratus dan Colombia (26 peratus).

Amerika Syarikat (AS) merekodkan jumlah paling tinggi kes baharu dengan 96,800 jangkitan iaitu penambahan 44 peratus.

Ia diikuti India dengan 40,600 kes baharu dilaporkan, peningkatan lima peratus selain Indonesia (33,900 kes, penurunan 20 peratus).

Berdasarkan kiraan per kapita, negara yang merekodkan kes baharu paling tinggi minggu ini ialah masih Fiji dengan 824 kes bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Georgia (575 kes) dan Cuba (565 kes).

Indonesia sekali lagi merekodkan jumlah tertinggi kematian dengan 1,689 kes diikuti Brazil (887 kes) dan Russia (790 kes).

Kematian harian di seluruh negara minggu ini berada pada kadar 9,382 kes setiap hari iaitu meningkat lima peratus.

Jepun kini mendahului suntikan vaksinasi berbanding negara lain dengan lebih sejuta penduduk sudah divaksin, membabitkan 1.77 peratus penduduknya setiap hari pada minggu ini.
Ia diikuti Panama (1.72 peratus), Sri Lanka (1.70 peratus), Malaysia (1.61 peratus), Ecuador (1.26 peratus), China (1.22 peratus) dan Arab Saudi (1.15 peratus).

Negara dengan program vaksinasi lebih maju sebelum ini dilaporkan sedikit perlahan minggu ini iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 172 dos pertama atau kedua bagi setiap 100 orang.

Sementara itu, Israel, Kanada, Chile dan Singapura masing-masing sudah menyuntik 133 dos pertama atau kedua bagi setiap 100 orang, Denmark (130 dos), Belgium (128 dos) dan United Kingdom (126 dos).

Berdasarkan statistik terkini global, COVID-19 sudah menjangkiti 202,308,516 orang dan mengorbankan 4,289,062 mangsa di 220 negara serta wilayah sejak ia mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019. - AFP

Rujuk : FB KKM
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE

Next Post Previous Post