COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

BANTU FRONTLINERS UNTUK TERUS BERTAHAN DEMI MALAYSIA TERCINTA

/ #TQFRONTLINERS

Menjelang 31 Ogos 2021 genaplah setahun 9 bulan Malaysia mendepani Pandemik Covid 19. Beberapa gelombang pandemik ini telah diharungi dengan beberapa mutasi varian virus kepada yang lebih agresif dan kebal.

Pelbagai strategi dan gerakgempur diatur untuk menangani serta membanteras penularan wabak ini.

Selain dari ubat-ubatan dan peralatan perubatan seperti katil pesakit, katil ICU, ventilator, oksigen dan sebagainya, anggota sumber manusia atau lebih dikenali sebagai frontliners merupakan aset penting negara yang menjadi benteng pertahanan dalam menangani pandemik ini.

Sebagaimana umum mengetahui, KKM bukan sahaja menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat meliputi skop perkhidmatan biasa penjagaan kesihatan primer, sekunder dan tertiari di fasiliti kesihatan seluruh negara, bahkan kini khidmat petugas kesihatan melangkaui aktiviti kawalan dan pencegahan pandemik COVID-19, perawatan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan dan fasiliti tambahan serta skop kerja lain dalam rantaian pengurusan COVID-19 seperti bertugas di PKRC, Pusat Saringan COVID-19, Pusat Pemberian Vaksin, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan serta menguruskan jenazah dan kematian pesakit apabila berlaku kematian. Bebanan serta skop kerja yang luas dan kompleks di samping pemakaian PPE untuk tempoh yang lama menjadikan kerja petugas Kesihatan semakin mencabar. Ia memerlukan kesabaran dan daya tahan fizikal serta mental yang tinggi.

Di samping usaha-usaha meningkatkan kapasiti rawatan pesakit COVID-19, Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota frontliners dan tindakan bagi memastikan ianya terjaga sentiasa diberi perhatian.

Di antara langkah-langkah yang diambil bagi menangani dan mengimbangi bebanan anggota petugas kesihatan di samping mengurangkan kesesakan:

  1. Menggunakan pendekatan “Whole Society Approach” dimana kolaborasi dengan pelbagai agensi lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan dengan penglibatan hospital-hospital pengajar seperti PPUM, HUKM, HUSM, HPUPM dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dalam menyediakan perawatan pesakit COVID-19. Inisiatif ini dapat mengurangkan kesesakan dan meringankan beban hospital KKM sedia ada.
  2. Memperluaskan kerjasama Awam swasta dalam merawat pesakit covid 19 dan pesakit bukan covid 19 serta pemberian vaksin dan mobilisasi sebagai sukarelawan dalam membantu hospital dan fasiliti kesihatan menangani pandemik covid 19. sehingga kini terdapat 112 hospital swasta yang terlibat.
  3. Penambahan bilangan hospital yang merawat covid-19 dari masa ke semasa bagi menangani peningkatan pesakit COVID-19 dan mengurangkan kesesakan di hospital COVID-19 sedia ada. Secara keseluruhan terdapat 157 hospital awam merangkumi 146 Hospital KKM, tiga Hospital Angkatan Tentera dan tujuh Hospital Universiti Awam. Daripada 157 hospital awam ini, 127 hospital telah dijadikan sebagai hospital COVID-19 dimana jumlah ini telah meningkat daripada 47 hospital sahaja pada Januari 2021.
  4. Pertambahan bilangan anggota kesihatan melalui perlantikan tetap dan kontrak, pengambilan sukarelawan serta mobilisasi anggota kesihatan secara dalaman dan luaran ke negeri- negeri yang terjejas teruk.
    5.Penyumberan luar ( outsourcing ) perkhidmatan klinikal akut dan sub akut serta perkhidmatan kecemasan bagi kes kemalangan ke fasiliti kesihatan swasta demi menambah kapasiti katil di hospital-hospital KKM dan pada masa yang sama memberi ruang kepada petugas kesihatan di fasiliti KKM memberi tumpuan kepada merawat pesakit covid 19
  5. Kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan MERCY Malaysia dalam membangunkan hospital medan di beberapa hospital yang mengalami kemasukan pesakit yang tinggi. Pihak ATM dan MERCY Malaysia telah membantu dalam pembinaan hospital medan dan tenaga kerja perubatan, kemudahan dan peralatan perubatan bagi perawatan pesakit hospital medan. Dengan pewujudan hospital medan, kapasiti katil bagi rawatan pesakit dapat dipertingkatkan, kesesakan dan beban kerja kakitangan hospital juga dapat diringankan.
    7.Kerjasama dengan NADMA, ATM, BOMBA, Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan-badan pertubuhan sukarelawan dalam membangunkan PKRC serta pengoperasiannya
    8.Berkerjasama dengan badan-badan agama serta Pusat Berkuasa Tempatan ( PBT ) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi pengurusan jenazah pesakit Covid 19
    9.Pelaksanaan kerja secara syif (shift duty) juga dilakukan bagi mengurangkan kelesuan dan keletihan (burnout) di kalangan anggota perubatan. Perkongsian tanggungjawab dan pergiliran serta mobilisasi anggota secara dalaman dari disiplin klinikal dan bukan klinikal juga dilakukan.
    10.Penggunaan teknologi maklumat seperti perkhidmatan secara maya, termasuk ’virtual clinic’ telah dimulakan dan diperluaskan di beberapa hospital serta klinik kesihatan. Kini, konsultasi pesakit COVID-19 melalui atas talian seperti virtual CAC juga merupakan antara usaha untuk meringankan beban tugas anggota kesihatan di CAC malah turut dapat memberi keselesaan kepada pesakit COVID-19 tanpa perlu beratur lama di CAC.
    11.Bagi memberi sokongan emosi dan kaunselling kepada petugas kesihatan, KKM menerusi perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) COVID -19 telah mewujudkan Talian Sokongan Psikososial di setiap hospital. Pada masa yang sama, KKM sentiasa memberikan motivasi kepada petugas kesihatan agar mereka terus komited menjalankan tugas dengan sebaiknya.
    Namun usaha-usaha yang dilaksanakan ini hanya akan lebih bermakna sekiranya ia didukung bersama oleh keseluruhan rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersatu membanteras wabak ini dengan mengamalkan pematuhan terhadap semua SOP.

Petugas barisan hadapan juga manusia biasa yang mempunyai kudrat yang terhad. Lambakan kes COVID-19 yang menyebabkan bukan sahaja menyebabkan kesesakan di hospital pada masa kini bahkan dengan kekuatan anggota yang amat nipis memerlukan petugas barisan hadapan menjalankan tugas lebih masa dan menjurus kepada kelesuan mental dan fizikal yang semakin mendesak. Selain, mereka juga mempunyai keluarga yang perlu dilindungi.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin.. hargailah pengorbanan petugas barisan hadapan yang telah mempertaruhkan nyawa serta keluarga mereka demi keselamatan semua dan negara tercinta.
Kami menyeru agar masyarakat Malaysia yang layak untuk menerima vaksin agar mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin COVID-19 supaya kita dapat membentuk imuniti kelompok (herd immunity) dengan lebih cepat sekaligus dapat turut melindungi golongan yang berisiko tinggi serta golongan yang tidak dapat menerima vaksin. Banyak sektor ekonomi, sekolah dan pelbagai aktiviti boleh dibuka semula dan kita boleh hidup seperti sediakala.

Sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64, marilah kita semua bersatu berganding bahu memerdekakan negara serta kehidupan kita dari penjajahan dan cengkaman COVID-19
Salam Kemerdekaan dari kami di Program Perubatan.

#MalaysiaPrihatin
#NegaraKitaTanggungJawabKita

CPRC Perkhidmatan Hospital
31 Ogos 2021

SUMBER : FB CPRC PERKHIDMATAN HOSPITAL

Next Post Previous Post