PENINGKATAN KES COVID-19 DI SELANGOR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dilaksanakan selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 hingga 16 Julai 2021. Semasa PKPD, aktiviti kesihatan awam dapat dijalankan dengan lebih bertumpu (targeted screening). Aktiviti pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu yang bergejala telah dilaksanakan dengan lebih giat bagi pengesanan awal kes COVID-19. Ini membolehkan pengasingan segera dijalankan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti.
Selain itu, KKM juga menjalankan saringan ke atas 10 peratus dari penduduk yang tinggal di kawasan PKPD tersebut dan keutamaan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi. Justeru, jumlah kes harian COVID-19 dijangka meningkat berikutan pelaksanaan aktiviti-aktiviti kesihatan awam.
Selangor telah menyumbang sebanyak 42.02 peratus daripada 47,811 kes bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 7 Julai 2021 berbanding hanya 38.33 peratus daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 Jun 2021 hingga 30 Jun 2021. Manakala, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyumbang sebanyak 13.01 peratus pada tempoh 1 Julai 2021 hingga 7 Julai 2021 berbanding 12.29 peratus bagi tempoh 24 Jun 2021 hingga 30 Jun 2021.
PKPD yang dilaksanakan adalah berdasarkan penilaian risiko di kawasan tersebut. Hasil saringan bersasar ini menunjukkan peningkatan kes yang ketara di negeri-negeri yang berada di bawah PKPD tersebut, seperti yang dapat dilihat dalam Rajah 1 di bawah.

Rajah 1: Bilangan kes positif COVID-19 harian bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari 1 Januari 2021 hingga 8 Julai 2021
Bagi menangani keadaan kritikal berikutan peningkatan kes yang mendadak ini, beberapa tindakan telah diambil, seperti yang dimaklumkan oleh YB Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Adham Baba dalam kenyataan akhbar beliau pada hari ini. Selain itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yakob pula telah meluluskan agar KKM meneruskan aktiviti penyumberluaran (outsourcing) ke hospital dan makmal swasta bagi membantu meningkatkan kapasiti KKM menangani COVID-19. Antara tindakan penyumberluaran (outsourcing) yang telah dilakukan adalah:
- Kerajaan telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan perubatan bertujuan mengurangkan masa menunggu pesakit khususnya yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal (urgent / semi-urgent) seperti rawatan jantung dan kanser sebagai langkah kesiapsiagaan hospital menghadapi wabak COVID-19. Ini akan memberi lebih banyak ruang dalam hospital KKM untuk menangani kes COVID-19 yang perlu dimasukkan ke hospital, dan pada masa yang sama memastikan rawatan kepada kes-kes bukan COVID-19 dapat terus diberikan.
- Pada tahun 2020, sebanyak RM 11 juta telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan bagi aktiviti penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan perubatan. Aktiviti penyumberluaran (outsourcing) tersebut telah melibatkan 31 hospital swasta di mana 3,741 pembedahan dan prosedur telah berjaya dilaksanakan.
- Aktiviti penyumberluaran (outsourcing) diteruskan lagi pada tahun 2021 dan peruntukan sebanyak RM 39,087,983 telah diagihkan kepada 14 buah negeri untuk tujuan yang sama. Setakat ini sebanyak 72 buah hospital swasta terlibat di dalam aktiviti penyumberluaran di seluruh negara.
- Susulan daripada peningkatan kes yang mendadak di kawasan Lembah Klang, Hospital Kuala Lumpur telah mempertingkatkan aktiviti penyumberluaran (outsourcing) kepada hospital-hospital swasta yang berdekatan. Sejak 6 Julai 2021, seramai 25 pesakit telah dihantar ke hospital-hospital swasta yang dikenal pasti dan anggaran seramai empat (4) pesakit akan dihantar setiap hari. Jumlah pesakit yang akan dihantar bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam jangka masa enam (6) bulan dianggarkan seramai 993 orang yang melibatkan peruntukan berjumlah RM 18 juta.
- Selain itu, perkhidmatan makmal juga telah bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menambah kapasiti ujian COVID-19. Antara agensi-agensi yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), universiti-universiti awam dan swasta, serta makmal-makmal swasta yang diiktiraf.
Sehingga kini, kapasiti ujian RT-PCR bagi semua makmal yang terlibat adalah sebanyak 116,803 ujian sehari. Terkini, sebanyak 92 buah makmal yang menjalankan ujian RT-PCR di mana 24 dari makmal hospital kerajaan, tiga (3) makmal institusi, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), empat (4) Makmal Kesihatan Awam (MKA), (2) makmal di Klinik Kesihatan, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), 13 makmal di universiti, dua (2) makmal dari Kementerian Pertahanan, satu (1) makmal MOSTI dan 41 makmal swasta.
Pihak KKM akan terus komited memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam apa jua keadaan yang dihadapi.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM