TANDA-TANDA AWAL KEBERKESANAN PROGRAM VAKSINASI DALAM MENGURANGKAN JANGKITAN SERIUS COVID-19 (KATEGORI 4 DAN 5) KEPADA GOLONGAN WARGA EMAS
Data terkini sehingga 18 Julai 2021 oleh Hospital Sungai Buloh menunjukkan, penurunan ketara kemasukan kes-kes jangkitan serius (kategori 4 dan 5) dalam kalangan warga emas bermula pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-23. Tren penurunan ini didapati selaras dengan permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa Kedua yang telah dimulakan seawal bulan April 2021 dan mula menunjukkan tanda-tanda awal keberkesanannya sejak ME ke-22 di mana kes kategori 4 dan 5 telah mulai berkurang bagi pesakit berumur 60-79 tahun (garisan hijau di dalam graf).

KKM juga ingin memaklumkan bahawa bermula dari 17 Julai 2021, semua warga emas (iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas) yang masih belum mendapatkan janji temu, agar hadir secara terus atau ‘walk in‘ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan Selangor, bagi mendapatkan suntikan vaksin pada hari yang sama. Selain itu, PPV juga akan terus beroperasi pada setiap hujung minggu termasuk cuti umum.
Tindakan-tindakan ini selaras dengan komitmen KKM dalam membina imuniti kelompok dalam kadar yang segera. Rakyat dinasihatkan untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan serta sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang proses pengambilan vaksin di PPV.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM