ELAK KORBAN AKIBAT COVID-19 KLUSTER KUNJUNG MENGUNJUNG DAN KLUSTER RENTAS NEGERI SEMASA PERAYAAN HARI RAYA AIDILADHA
Bermula 1 Jun 2021, iaitu sejak permulaan pelaksanaan “Total lockdown” sehingga data terkini 16 Julai 2021, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif COVID-19 telah dilaporkan oleh KKM. Kes-kes tersebut dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring (kadar positiviti 23.5 peratus) melalui Active Case Detection (ACD) yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan. Daripada jumlah 17,106 kes tersebut, 105 kematian telah dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di ICU.

Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian. Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan di atas.
KKM juga ingin menzahirkan kekhuatiran berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri (Import B). Dalam tempoh 1 Jun 2021 sehingga 16 Julai 2021 sahaja, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus). Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.
Negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan (8) kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima (5) kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga (3) kluster (14.3 peratus).

Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser merupakan kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan COVID-19. Kita harus sedar bahawa sistem pertahanan tubuh mereka adalah lebih rendah dan membuatkan mereka mudah dijangkiti COVID-19. Tahap kesihatan mereka juga mudah merosot apabila dijangkiti COVID-19, sehingga ada yang boleh membawa kepada kematian.
KKM ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk Malaysia yang telah bersungguh-sungguh dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan dan terus kekal duduk di rumah. Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti. Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Justeru, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai 2021. Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa. Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan. Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana COVID-19.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM