Keputusan Kajian Ubat Ivermectin September Ini
KUALA LUMPUR: Keputusan kajian ubat Ivermectin untuk digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 akan diketahui pada September ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata setakat ini seramai 200 pesakit COVID-19 menyertai kajian terbabit membabitkan 18 hospital kerajaan.
"Kajian terbabit dikenali sebagai Ivermectin Treatment Efficacy on COVID-19 High Risk Patient. Ia kini sedang dijalankan di beberapa hospital kerajaan.
"Berdasarkan perancangan awal, seramai 500 pesakit COVID-19 berisiko tinggi dan bergejala ringan akan terbabit dalam kajian ini namun setakat ini, kira-kira 200 pesakit sudah menyertai kajian berkenaan," katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun penerangan Dr Adham berhubung ubat terbabit mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat pembangkang yang berterusan menyerangnya dan mendesak supaya Menteri Kesihatan menggunakan kuasanya meluluskan penggunaan ubat itu.
Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) mempersoalkan adakah Menteri Kesihatan sanggup bertanggungjawab di atas kematian lebih ramai pesakit COVID kerana enggan meluluskan penggunaan ubat terbabit.
Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) pula meminta Dr Adham membuat keputusan segera supaya penggunaan ubat itu diluluskan walaupun kajian sedang dilaksanakan.
"Saya membuat keputusan kita tunggu sehingga peroleh keputusan kajian 'randomised control trial' bulan September ini," tegas Dr Adham.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Adham berkata, hospital medan yang ditutup di Labuan, akan dibawa ke Melaka bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di negeri berkenaan.
"Kita faham keperluan Yang Berhormat. Sebab itu saya nak maklumkan dan menjelaskan bahawa kita sudah membina 10 unit ICU Modular dan ia pun sudah beroperasi.
"Namun berikutan penutupan hospital medan di Labuan susulan penurunan kes dan peningkatan vaksinasi, kita akan membawa hospital medan terbabit ke Melaka," katanya menjawab celahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).
Rujuk : FB KKM
SUMBER : BERITA HARIAN