POLISI TEMPOH KUARANTIN WAJIB BAGI PENGEMBARA DARI LUAR NEGARA
KKM sentiasa mengambil maklum berkenaan perkembangan situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam dan luar negara. Ketika ini, lebih daripada 50 peratus negara telah melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti. Bagi mengurangkan risiko kemasukan kes varian import, Kerajaan telah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Pelanjutan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin) ke atas Pengembara yang tiba di Malaysia seperti ketetapan berikut;
- Semua pengembara perlu menjalani ujian PCR COVID-19 tiga (3) hari sebelum tarikh berlepas dan semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa Negara (PMA);
- Tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, dan Pakistan dilanjutkan kepada 21 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan;
- Pengembara dari lain-lain negara, dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan oleh Kerajaan. Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh (7) hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin keseluruhan 21 hari), sekiranya terdapat keperluan berdasarkan penilaian risiko yang telah dijalankan kepada pengembara tersebut pada hari ke-14. Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di pusat kuarantin yang sama;
- Ujian ulangan PCR COVID-19 akan dilakukan pada hari ke-10, sekiranya pengembara menjalani kuarantin bagi tempoh 14 hari. Sekiranya keputusan ujian ulangan tersebut didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-14. Manakala, bagi pengembara yang menjalani tempoh kuarantin bagi tempoh 21 hari, ujian ulangan PCR COVID-19 perlu dilakukan pada hari ke-18 dan jika didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-21; dan
- Mematuhi lain-lain ketetapan sedia ada yang perlu dilakukan oleh pengembara yang baru tiba ke Malaysia.
- KKM ingin menegaskan bahawa penentuan tempoh kurantin wajib ini adalah berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa. Adalah diingatkan bahawa pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya yang melibatkan VOC dan Variant of Interest (VOI), di mana ia didapati lebih cepat merebak serta menyebabkan risiko kematian yang lebih tinggi. Malahan ini juga merupakan amalan ini turut dijalankan oleh kebanyakan negara lain.
Sememangnya pelbagai rayuan telah diterima oleh Jawatankuasa Home Surveillance Order (HSO) di CPRC Kebangsaan di mana rayuan ini rata-ratanya berkaitan dengan permohonan pengecualian dan pemendekan tempoh kuarantin oleh pengembara yang pulang dari luar negara atas sebab-sebab tertentu. KKM memahami pelbagai situasi peribadi yang mereka hadapi, namun pada masa yang sama KKM perlu kekal serius dalam pelaksanaan polisi kuarantin ini bagi memastikan risiko jangkitan COVID-19 dari luar negara dapat diminimakan. KKM juga ingin memaklumkan bahawa sebarang permohonan dan rayuan perlu melalui proses penilaian yang sangat ketat.