PENINGKATAN BILANGAN PESAKIT COVID-19 YANG KRITIKAL DAN STATUS KEPERLUAN KATIL ICU SERTA VENTILATOR DI MALAYSIA.
Merujuk capaian data KKM sekitar Januari 2021, sebanyak 7% pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital adalah dari kategori 4 dan 5. Namun, angka ini telah meningkat ke 35% pada awal Mei 2021.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan peratusan pesakit dari kategori 4 dan 5 termasuk:
- Jangkitan virus VOC (Variant of Concern) yang lebih agresif;
- Masih belum ada rawatan khusus bagi COVID-19 dan pesakit menjadi semakin kurang menunjukkan respon terhadap rawatan sokongan sedia ada berbanding pada awal pandemic;
- Keadaan ‘happy hypoxia’ di kalangan pesakit muda dan sihat yang mana pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala dan tidak menyedari bahawa mereka mengalami masalah kekurangan oksigen sehingga keadaan kesihatan mereka telah serius dan terjejas teruk telah menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan rawatan awal.
Susulan peningkatan pesakit COVID-19 khususnya kategori 4 dan 5, KKM telah mengambil inisiatif proaktif kesiapsiagaan Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti:
- Menukar fungsi (repurpose) ruangan tertentu untuk dijadikan ICU sementara;
- Pembinaan ICU tambahan di dalam fasiliti sedia ada seperti di Hospital Sibu dan Bintulu di Sarawak, Hospital Queen Elizabeth Sabah dan beberapa hospital lain;
- Pewujudan ICU modular di beberapa hospital yang mempunyai kes yang tinggi seperti di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kepala Batas Pulau Pinang dan Hospital Melaka;
- Naik taraf kemudahan ICU sedia ada termasuk pembelian peralatan perubatan kritikal seperti ventilator, katil pesakit dan patient monitors;
- Mewujudkan ICU Medan modular di perkarangan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi lain.
Pembinaan atau penukaran fungsi ruang tertentu menjadi ICU adalah berdasarkan tatacara dan standard, mengambil kira spesifikasi ICU termasuk aspek saluran bekalan oksigen, bekalan elektrik, peralatan seperti ventilator, jenis katil pesakit, kawalan penyakit dan sebagainya bagi memastikan bukan sahaja rawatan optimum dapat diberikan, malah, tiada jangkitan silang dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit ICU.
Ini adalah penting bagi memastikan pesakit COVID-19 yang kritikal boleh dirawat secara optimum. Setakat 14 Jun 2021, terdapat 1,322 katil ICU di seluruh negara termasuk fasiliti swasta dengan kadar penggunaan 90%.
Situasi yang lebih membimbangkan adalah apabila kes aktif COVID-19 melebihi kemampuan dan kapasiti hospital untuk merawat, petugas kesihatan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah (poor prognosis).
Ini adalah implikasi yang tidak diingini dan sebolehnya dielakkan oleh setiap petugas kesihatan, namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksima.
Oleh yang demikian, KKM menyeru supaya semua masyarakat bekerjasama dalam memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh. Setiap anggota masyarat bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19. Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi negara kita.
Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada SOP dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. Marilah kita mendaftar dan menerima vaksinasi COVID-19 untuk melindungi diri sendiri selain dari membantu negara mencapai imuniti kelompok (herd immunity).


CPRC PERKHIDMATAN HOSPITAL
PROGRAM PERUBATAN
Tarikh kemaskini: 15 Jun 2021